
Kedaifan hidup dua beranak, Siti Hasnah Hashim, 73, dan anaknya, Yuskhairi Yusof, 29, baru baru ini mendapat perhatian Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani.
Menurut kenyataan pusat khidmat itu, Hasnah yang merupakan ibu tunggal telah lama kehilangan suami dan menghidap diabetis sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan sebahagian jari kaki kanannya terpaksa dipotong.
Manakala anaknya, Yuskhairi menghidap penyakit bengkak di kaki akibat masalah kandungan protein dalam badan sehingga menyukarkan pergerakan serta urusan seharian.
"Keadaan ini menyebabkan Yuskhairi yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik untuk menyara kehidupan bersama ibunya terpaksa berhenti kerja.
"Kehidupan dua beranak ini amat menyedihkan. Kini mereka bergantung harap pada ihsan jiran-jiran sekeliling bagi menghulurkan bantuan. Keadaan kediaman mereka juga cukup daif," ujar kenyataan itu.
Menurut pusat khidmat itu lagi, sebelum ini Hasnah pernah mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun telah dihentikan.
Ketiadaan sumber pendapatan, katanya, menyebabkan mereka tidak mampu menanggung kos perubatan serta keperluan harian.
"Oleh itu, pihak Parlimen Sungai Petani tampil membantu mengisi borang permohonan bantuan JKM bagi membolehkan mereka menerima kembali bantuan.
"Selain itu pihak pusat khidmat juga memberi ubat cuci luka, kapas, "bandage" serta krim untuk merawat kesan bengkak kaki kepada anak Makcik Hasnah. Bantuan barangan keperluan asas makanan turut diberikan.
"Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung. Semoga mereka segera kembali sembuh," kata kenyataan itu lagi.