top of page

Peruntukan KBS naik taraf litar motorcross tingkat sukan permotoran



Oleh: Akmal Manaf


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan peruntukan sebanyak RM400,000 kepada Majlis Sukan Negeri itu untuk menaik taraf Litar Motorcross di Sungai Batu Pahat, Kangar.


Ketua AMK Negeri, Azzin Izzad Bahanudin berkata, pihaknya percaya usaha berkenaan bukan sahaja menjadikan Perlis pusat sukan permotoran berdaya saing malah akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.


"Pembangunan ekonomi itu adalah daripada segi aktiviti-aktiviti berkaitan yang berpotensi menarik kehadiran pelumba, peminat, dan penggiat sukan dari seluruh negara.


"Kami optimis bahawa langkah-langkah yang diambil oleh KBS di bawah pimpinan Timbalan Menteri (Adam Adli) akan menyuntik semangat baharu dalam arena sukan permotoran.


"Kami juga berjanji akan terus menyokong usaha murni ini untuk mencapai visi negara dalam melahirkan atlet dan pelumba bertaraf antarabangsa," katanya menerusi satu kenyataan.


Dalam pada itu, beliau turut berharap agar peruntukan yang diberikan akan diteruskan, pada masa sama menjalinkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan KBS bagi membangunkan infrastruktur sukan permotoran yang lebih meluas.


Katanya, Kerajaan Negeri di bawah Pas sepatutnya mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana peruntukan itu adalah bukti jelas Kerajaan MADANI tidak menganaktirikan mana-mana negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.


"Usaha ini bakal memberi peluang kepada belia tempatan untuk menyertai aktiviti sukan yang sihat dan bermakna serta mewujudkan suasana yang positif dalam kalangan masyarakat.


"Kami mendoakan agar segala inisiatif yang direncana berjalan lancar dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, khususnya golongan belia yang merupakan tunjang masa depan negara," ujarnya.


Pada 4 November lalu ketika di Dewan Rakyat, Adam Adli mengumumkan sejumlah RM7.4 juta telah pun diperuntukkan khusus buat sukan permotoran di negara pada tahun ini.


Menurut Adam yang juga Ketua AMK, pihak kerajaan telah memperuntukkan dana itu khas untuk pembangunan sukan permotoran dengan pelbagai program untuk dianjurkan meliputi semua peringkat.


Susulan pengumuman berkenaan, Azzin turut menyatakan sokongan penuh dan penghargaan kepada Adam Adli dan KBS atas komitmen terhadap pembangunan sukan permotoran di negara ini.

Beliau menyifatkan, peruntukan itu merangkumi pelbagai inisiatif penting yang dijangka akan membawa impak besar terhadap pembangunan sukan, khususnya dalam kalangan belia tempatan.


"Inisiatif yang dirancang merangkumi penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti mini bike, pushbike, go kart, dan drift, serta latihan kemahiran asas bagi melahirkan generasi pelumba yang berdaya saing dan berdisiplin tinggi.


"Kami amat berbesar hati melihat KBS turut mengambil langkah bijak dalam melaksanakan bengkel pemurnian modul disiplin sukan enduro, kursus Marshall dan kursus pemanduan selamat.


"Inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan keselamatan, tetapi mempertingkatkan disiplin dalam kalangan pelumba," katanya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page