Pertumbuhan ekonomi Selangor yang tinggi dan buat pertama kalinya dalam sejarah menyumbang 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mematikan serangan pembangkang yang sebelum ini mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu tanpa hala tuju dan ekonomi tidak cemerlang.
Begitu juga serangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Azmin Ali yang mendakwa ekonomi Selangor merosot pada era pentadbiran Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagi Amirudin, bukti KDNK yang dikeluarkan agensi Persekutuan itu adalah jawapan kepada kritikan Azmin dan memperlihatkan hakikat bahawa ekonomi Selangor semakin cemerlang selepas Azmin meninggalkan kerusi MB.
"Itu bukti bahawa kita ada track record yang sangat baik dan kita ada perancangan yang teratur dalam memastikan Selangor kekal di kedudukan ekonomi yang besar.
"Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah satu daripada petunjuk. Paling penting adalah konsistensi. Sejak 2018, 2019, turun sikit 2020, kembali meningkat 2021 dan sekarang 2022, membuktikan ada peningkatan yang besar.
"Bukan (FDI) datang sejumlah besar, tahun berikutnya lemah, itu adalah tanda tidak ada perancangan dan kefahaman," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyerahan lembu korban di Batu Caves, pagi tadi.
Selain itu, menurut Amirudin, Selangor adalah negeri paling banyak menyediakan peluang pekerjaan di Malaysia.
Hal itu, katanya, perlu diteliti Azmin sebelum mengeluarkan kritikan.
"Azmin kena lihat jumlah tenaga kerja yang ditawarkan. Jumlah kerja lebih besar di Selangor, juga jumlah gaji dan nilai ekonomi
"Ini (kritikan) cuma permainan dia (Azmin). Sangat sedih seorang yang tidak bercakap jujur dalam hal ini, terutama dalam politik.
"Selamat maju jayalah dengan ketidakjujuran dia," sinis Amirudin.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi Selangor sepanjang 2022 tumbuh sebanyak sebanyak 11.9% berbanding 8.7% kadar pertumbuhan nasional.
Pertumbuhan itu melebihi satu perempat daripada KDNK negara. Kenyataan itu juga menyebut sumbangan Selangor kepada KDNK negara sebanyak 25.5%, meningkat 0.7% berbanding sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2021.
Комментарии