Pertikai pemimpin Amanah tidak dilantik jaga agama tidak matang
- Suara Keadilan
- 40 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Kamarul Bahrin Shah (gambar) menyifatkan kenyataan seorang pemimpin Pemuda AMANAH yang mempertikai pelantikan Kabinet terbaharu sebagai tidak wajar serta mencerminkan salah faham terhadap protokol dalaman parti dan kerajaan.
Beliau berkata cadangan supaya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama adalah tidak menghormati kedudukan dan pengalaman Mujahid yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Agama sepenuhnya sebelum ini.
"Datuk Seri Mujahid bukan sahaja bekas menteri penuh, malah mempunyai rekod cemerlang khususnya dalam menyelesaikan isu besar Tabung Haji sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan lalu
"Cadangan tersebut juga mencerminkan kekurangan kematangan, sopan dan adab," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pemimpin Pemuda AMANAH, Ahmad Azri Abdullah dalam Tweetnya mempertikaikan perlantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri Agama.
"Takkan la takde satu pun ahli Amanah yang layak terlibat di Kementerian Agama? Boleh pilih YB Mujahid, YB Suhaizan atau YB Hasbie.
"Dari semalam masih terfikir rahmah perlantikan Marhamah," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman rombakan Kabinet pada 16 Disember lalu mengekalkan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan.
Dua timbalan Menteri dari AMANAH turut dikekalkan iaitu Naib Presidennya Adly Zahari (Pertahanan) dan Athirah Sabu (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
Raja Kamarul Bahrin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, memandangkan Dr Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah mempunyai pengaruh luas dalam kalangan masyarakat Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa, cadangan melantik beliau ke jawatan lebih rendah dilihat tidak mencerminkan kematangan serta adab politik yang sewajarnya
Menegaskan dakwaan bahawa AMANAH dipinggirkan dalam pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama, Raja Kamarul Bahrin berkata tuduhan sedemikian mencerminkan kegagalan memahami prosedur sebenar pelantikan Kabinet.
"Dari segi protokol, Perdana Menteri lazimnya mempertimbangkan senarai calon yang dikemukakan oleh parti sendiri. Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa Perdana Menteri meminggirkan Amanah seharusnya disemak terlebih dahulu dengan kepimpinan parti," jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya nama Mujahid benar-benar dikemukakan oleh AMANAH, tidak mustahil beliau berpeluang dilantik semula sebagai Menteri Hal Ehwal Agama berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatannya, bukannya sebagai Timbalan Menteri.
"Untuk berlaku adil kepada Perdana Menteri, isu ini perlu disemak secara dalaman. Masalahnya mungkin bukan terletak di Pejabat Perdana Menteri," katanya.





