Pertemuan ketua-ketua parti politik utama negara dengan Yang di-Pertuan Agong selesai pada pukul 4.00 petang tadi.
Kenderaan yang membawa pimpinan parti keluar melalui Pintu 2, Istana Negara kira-kira pukul 4.10.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus keluar dari pintu gerbang Istana Negara mengadakan sidang media ringkas dan memaklumkan isi penting pertemuan berupa nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kepada semua pemain politik, agar mewujudkan muafakat baharu dalam menangani pandemik Covid 19 serta kemelesetan ekonomi.
"Semua ketua parti dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang memulakan titah dengan kata-kata nasihat bahawa negara sekarang dalam kemelut politik Perlembagaan dan harus bersatu untuk menghadapi Covid 19 dan juga ekonomi.
"Yang di-Pertuan Agong beritahu dia berpegang kepada lunas Perlembagaan dan mencari calon yang mendapat sokongan majoriti (untuk dilantik sebagai Perdana Menteri). Tetapi bentuk politik harus berubah. Maknanya yang menang itu jangan jadi seperti yang telah berlaku, menekan yang kalah. Harus menggarap kekuatan semua parti dengan semangat persefahaman baharu, muafakat baharu, bekerjasama untuk menangani masalah Covid 19 dan juga mengangkat semula ekonomi negara," katanya.
Menurut Presiden KEADILAN itu lagi, semua ketua-ketua parti diberi peluang menyampaikan pandangan mengenai situasi dalam negara dan kesemua mereka bersetuju isu yang harus diutamakan adalah menghentikan konflik politik yang meletihkan rakyat.
"Umumnya kita bincang. Setiap ketua parti di minta sampaikan pandangan. Saya, Guan Eng, Mohamad Sabu, Umno, Pas, Pejuang, Bersatu yang telah memberikan pandangan masing-masing tetapi semuanya nampak ada satu persefahaman konsensus untuk menghentikan konflik politik yang melelahkan dan membosankan. Dengan cara pelanggaran peraturan, hukum dan lain-lain. Kita harus menjurus semula menumpukan ke arah membangun negara.
"Jadi isunya bukan sahaja pelantikan PM baru tetapi lebih penting yang ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Agong, Sultan Perak, Sultan Nazrin ialah untuk menggagaskan suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat semua," katanya lagi.
Comments