Pertemuan dengan Trump: PM Anwar komited angkat isu Gaza
- Suara Keadilan

- Oct 22
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut Anwar, pertemuan itu nanti bukan sekadar peluang memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–AS dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tetapi juga wadah penting membincangkan isu kemanusiaan dan keamanan global.
"Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi menyuarakan pandangan mengenai perkara yang baik untuk Malaysia, AS dan dunia termasuk isu berkaitan Gaza," katanya dipetik pada Forum Ilmu PNB 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Forum tersebut menghimpunkan tokoh-tokoh ekonomi dan pemimpin korporat bagi membincangkan fenomena landskap ekonomi dunia.
Anwar sementara itu menegaskan dasar luar Malaysia kekal seimbang dan berprinsip, berteraskan kepusatan ASEAN dengan mengekalkan hubungan baik bersama semua kuasa besar termasuk China, AS dan Kesatuan Eropah.
"Sebagai negara dagang, kita terus memperluas hubungan bukan sahaja dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga Amerika Latin dan Afrika Selatan.
"Itu sebabnya, buat pertama kali dalam rangka kerja ASEAN, kita akan menerima kehadiran Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa," jelasnya.









Comments