Pertembungan kelompok 'ulama' - 'publika' dalam Muktamar Pemilihan Pas?
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Penganalisis politik mendakwa berlaku pertembungan antara dua kumpulan utama dalam Pas yang dilihat bersaing untuk menguasai barisan kepimpinan parti itu menjelang pemilihan yang akan datang.
Menurut Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, kemelut dalaman itu dikatakan melibatkan dua proksi utama.
Katanya, ada yang menamakan pertembungan dua blok itu sebagai 'Geng Ustaz' dan 'Geng Publika'.
Setelah 10 tahun agak tenang, dakwanya politik dalaman Pas kembali berkocak menjelang pemilihan kepimpinan dalam muktamar September ini.
"Krisis kali ini dilihat sekadar mengulangi skrip muktamar 2015 lalu, iaitu pertembungan antara dua proksi utama dalam Pas untuk memilih barisan kepimpinan.
"Ada yang menamakan sebagai pertembungan antara kelompok konservatif dan progresif, atau sebagai pertembungan kumpulan ulama dan profesional.
"Seperti episod-episod sebelum ini, pertembungan 2025 juga tentang kumpulan profesional diserang, kerana didakwa ingin merampas tampuk kepimpinan tertinggi parti.
"Jalan cerita yang sama, cuma berbeza pada wataknya," kata beliau dalam muat naik di Facebook.
Dr Mohd Yusri mendakwa, antara nama yang dikaitkan dengan ‘Geng Publika’ yang didakwa mahu mencabar kepimpinan ulama Pas adalah Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dakwanya, label-label baharu seperti HooSAM 2.0, Jebon 2.0, Taksubiyyun Dr Sam sudah mula keluar di media sosial.
"Label-label tersebut adalah kitaran skrip Jebon, Anwarinas, Geng Erdogan, Munafiq Haraki dan sebagainya yang pernah masyhur dalam edisi lepas.
"Jika sebelum ini Sanusi sebagai contoh dianggap sebagai wira melanggar Pakatan Harapan (PH), namun dalam plot ini beliau dilihat sebagai pembawa angkara, termasuk dakwaan menggerakkan agenda Langkah Kedah.
"Jika sebelum ini hobi menyanyi beliau dipuji dan dipertahan, sekarang beliau mula dilabel sebagai orang 'besaq' yang suka berkaraoke, dengan konotasi mengejek dan menganjing," ujarnya lagi.
Malah dakwanya, Dr Samsuri yang sebelum ini dilihat sebagai tokoh hebat dalam parti itu dan ditabal sebagai bakal Perdana Menteri dalam kempen Pilihan Raya Kecil Kemaman sebelum ini turut menjadi sasaran.
"Sekarang berbeza, beliau antara yang dijadikan sasaran fokus kemarahan oleh kelompok jalur agama dalam Pas.
"Takiyuddin juga tidak terkecuali, beliau didakwa sebagai individu yang memainkan peranan untuk mengangkat figura profesional sebagai kepimpinan tertinggi parti.
"Bahkan sekarang beliau mula disalahkan kerana didakwa mengemukakan usul (pada waktu Maghrib?) dalam muktamar di Pahang sebelum ini yang meluluskan DHPP boleh turut mengundi dalam muktamar.
"Sebarang perubahan dalam Pas secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi senario dan iklim politik Malaysia," katanya lagi.
Oleh itu, Dr Mohd Yusri berkata, penyelidik dan penganalisis terus memberi perhatian serius terhadap sebarang perkembangan yang berlaku dalam Pas pada ketika ini kerana berkemungkinan berlakunya perubahan pemimpin.