Pertarungan merampas kerusi DUN Sungai Bakap bermula esok
- Suara Keadilan
- Jun 21, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Misi wajib menang merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuka tirai dengan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi esok.
Bagi melancarkan proses penamaan calon, tiga jalan utama akan ditutup untuk memberi laluan bermula jam 11.59 malam esok hingga 3 petang Sabtu itu membabitkan Jalan Serindit, Jalan Susur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) dan Jalan Susur Jabatan Kerja Raya (JKR).
Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Sejurus itu, pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen, bermula selepas pengisytiharan calon bertanding esok sehingga pukul 11.59 malam, 5 Julai.
Dimaklumkan setakat ini bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, dinamakan sebagai calon Kerajaan Perpaduan manakala Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, diumumkan sebagai wakil Perikatan Nasional (PN).
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Commentaires