Pertandingan DJ Kebangsaan Beat Thalaivan kembang bakat seni anak muda
- Suara Keadilan

- Sep 10
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pertandingan DJ Kebangsaan Beat Thalaivan 2025 yang bertemakan 'One Stage, One Champion', bakal menjadi sebuah platform berprestij bagi mengetengahkan dan mengembangkan bakat seni dan muzik dalam kalangan belia komuniti India di negara ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, acara berkenaan bukan hanya berkisarkan muzik, malah turut menggabungkan elemen kreativiti anak muda sekali gus memperkasakan golongan belia.
''Dalam bidang muzik ini, kita ada banyak peluang untuk meraih pendapatan.. ini juga merupakan salah satu sumber pendapatan untuk belia-belia kita.
''Ada yang pergi kerja pagi dan petang.. mereka boleh menjadi hos atau DJ dengan memainkan muzik untuk majlis-majlis tertentu seperti di hotel sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,'' katanya pada sidang media yang diadakan di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor, petang semalam.
Pertandingan akhir DJ Kebangsaan akan berlangsung pada 15 Oktober depan bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masuk adalah percuma.
Selain sijil penyertaan, pemenang dan finalis bakal merebut hadiah berupa wang tunai dengan jumlah keseluruhan melebihi RM12,000.
Menurut Dr. Gunaraj, penganjuran Beat Thalaivan selaras dengan agenda kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan negeri ini hab pembangunan bakat, seni kreatif, dan hiburan produktif generasi muda.
"Pertandingan ini bukan sekadar pertandingan DJ semata-mata. Ia adalah platform memperkasa belia, menggilap bakat, dan membina keyakinan diri. Beat Thalaivan menyatukan kreativiti, budaya dan tenaga anak muda Malaysia, sekaligus mencipta ruang untuk mereka bersinar di pentas kebangsaan," katanya.
Untuk rekod, sejak pendaftaran dibuka pada 10 September 2025, Beat Thalaivan telah melalui beberapa fasa termasuk sesi uji bakat pada 26 September dan pusingan separuh akhir pada 5 Oktober.
Grand Final Beat Thalaivan akan dipersembahkan dengan produksi pentas mega, menggabungkan muzik, cahaya dan visual yang mendebarkan, menjanjikan pengalaman luar biasa kepada penonton.
Beat Thalaivan 2025 dijangka akan menjadi inisiatif memperkukuh komuniti seni kreatif, memperkasa bakat belia dan menjadikan Selangor sebagai pusat hiburan serta budaya moden Malaysia.









Comments