Pertahan Najib: Ustaz Zulkarnain sifatkan Pas telah hilang maruah


Parti Pas disifatkan sudah hilang maruah apabila didakwa sanggup mengubah pendirian politik dan menggunakan hujah agama untuk mempertahankan pemimpin yang sudah disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah.
Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, Ustaz Zulkarnain Harun berkata, tindakan mempertahankan pemimpin yang berdepan sabitan kesalahan dan kontroversi kewangan termasuk mempertahankan tindakan mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta dianggap sangat memalukan.
Malah tegasnya, tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej perjuangan politik, malah memperlihatkan sikap taksub mengatasi pertimbangan akal dan prinsip keadilan.
"Bagi saya, Pas parti yang paling tak ada maruah. Yang akhir-akhir zaman ini nak membenarkan perkara yang tidak sepatutnya.
"Adakah boleh dia berfatwa, boleh terima untuk bebaskan penyamun dengan membawa satu (alasan)? Boleh pakai ke?" katanya dipetik laporan media.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Baba Zul turut membangkitkan beberapa skandal besar yang wajar dijadikan pengajaran kepada pengundi, termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda serta UiTM Holdings.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilupakan kerana ia membabitkan persoalan amanah, pengurusan institusi dan kepentingan wang rakyat.
"Bagaimana Umno dan Pas mahu membawa agenda perjuangan Melayu sekiranya kedua-dua parti itu sendiri gagal menunjukkan kesungguhan mempertahankan amanah serta kepentingan rakyat," tambahnya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan pengundi Melaka supaya tidak membiarkan sentimen kepartian dan ketaksuban menghalang mereka daripada menilai prestasi serta rekod pemerintahan sesebuah kerajaan.
Katanya, rakyat sepatutnya menggunakan pertimbangan rasional untuk menentukan kerajaan mana yang lebih baik dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara, bukannya semata-mata memilih berdasarkan sentimen agama atau bangsa.
"Kalau orang menggunakan akal, menggunakan ilmu yang ada sedikit pada mereka, kalau tidak disaluti dan dibalut dengan sifat taksub yang tebal dalam fikiran," katanya.




Comments