
Persediaan pemilihan KEADILAN diteruskan biar pun parti akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri Johor yang dijangka diadakan pada Mac ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, persediaan di pihak JPP sedang gigih dijalankan bagi menepati garis masa yang telah ditetapkan oleh Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.
"Tarikh penerimaan keanggotaan dan pertukaran Cabang telah pun ditutup pada 31 Januari baru-baru ini, dengan pengesahan dari pejabat Setiausaha Agung bagi penerimaan permohonan keanggotaan baru mencecah 78,093 orang bermula 24 November 2021 sehingga 31 Januari 2022, suatu pertambahan yang besar dari jumlah seramai 1,004,629 ahli pada Ogos 2020 lalu," katanya.
Jelas Dr Zaliha, pada pemilihan kali ini JPP menjangkakan jumlah yang akan keluar mengundi akan melebihi daripada jumlah
200,000 anggota yang telah keluar dalam pemilihan 2018.
Hal itu, katanya, kerana sistem pemilihan dilakukan secara hibrid yang menggabungkan pemilihan secara online dan fizikal yang lebih memudahkan mereka untuk membuang undi dari mana sahaja tanpa perlu hadir ke Cabang keanggotaan masing-masing.
"Anggota begitu teruja dalam pemilihan kali ini yang diharap akan mengenengahkan barisan kepimpinan yang lebih mantap, terangkum dari pelbagai latarbelakang termasuklah dari kalangan anak muda dan srikandi, aktivis, profesional juga golongan agamawan serta gandingan muka baru dan anggota senior parti," katanya.
Menurut beliau lagi, ianya bertepatan dengan tema pemilihan kali ini iaitu kembali melaras, membina dan memperkuat
Dr Zaliha juga memberitahu senarai mereka yang boleh mengundi akan dimuktamadkan selepas 18 Februari dan sekarang adalah fasa semakan serta bantahan, sekiranya ada, dari keseluruhan cabang dan sayap parti.
"Seusai itu, JPP akan melancarkan aplikasi “ADIL apps” yang boleh dimuat turun melalui apps store dan play store di mana anggota parti boleh mengemaskini maklumat kendiri serta mula mendaftar untuk mengundi secara online dalam pemilihan Parti.
"Jawatankuasa Pemilihan Parti menggalakkan anggota untuk sentiasa cakna dengan segala perkembangan terkini dari kami yang boleh diikuti dari laman web rasmi parti dan juga Facebook page rasmi Pemilihan Parti," katanya lagi.