Perpaduan perlu dipupuk berterusan dengan kebijaksanaan, kesabaran - PM
- Suara Keadilan

- Jun 13
- 2 min read

Perpaduan negara tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal secara semula jadi, sebaliknya perlu terus dipupuk dengan kebijaksanaan dan usaha berterusan.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebarang tindakan yang boleh memecah-belahkan kaum seharusnya ditolak bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
"Perpaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal dengan sendirinya dan ia mesti terus dipupuk dengan kebijaksanaan, kesabaran dan ikhtiar yang berterusan, sambil menolak segala bentuk tindakan yang boleh memecah-belahkan masyarakat," katanya dalam hantaran di media sosial selepas menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Likas, Sabah petang tadi.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan Malaysia mampu kekal bersatu dalam kepelbagaian hasil kepimpinan berwawasan yang meraikan perbezaan sebagai kekuatan.
Katanya, antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam membina asas perpaduan negara termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Temenggong Jugah, Tun Mustapha Harun serta Tun Fuad Stephens yang telah membuktikan bahawa kemajmukan bukan halangan, sebaliknya sumber kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman, stabil dan maju.
"Saya tekankan perkara tersebut sewaktu berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah sambil mengingatkan bahawa perpaduan hanya dapat dipertahankan sekiranya kita terus mengamalkan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam berpolitik serta dalam mengurus perbezaan," ujarnya.
Dalam pada itu beliau juga menekankan semangat negara bangsa yang dibina oleh pejuang kemerdekaan terdahulu perlu diperteguh untuk generasi akan datang.
"Semangat negara bangsa yang telah dibina dengan susah payah ini mesti terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat, saling percaya dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segala perbezaan," katanya.
Dalam pada itu, PM juga mengumumkan geran aktiviti sebanyak RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Kerajaan, katanya turut menyediakan geran sebanyak RM5,000 kepada 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah sekolah seluruh negara bagi menghidupkan amalan serta penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara sejak di peringkat awal persekolahan.
Inisiatif tersebut, diharapkan akan melahirkan lebih ramai Duta Kecil Rukun Negara, memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum serta mengaktifkan semula pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sebagai platform interaksi dan integrasi nasional yang lebih berkesan.




Comments