Perluasan SST: Fikirkan bantuan M40, dasar lebih agresif tingkat kesejahteraan
- Suara Keadilan
- Jun 12
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diharap akan membawa perubahan dalam jangka masa pendek, terutama bagi menambah bantuan kepada rakyat marhaen.
Bagaimanapun, menurut Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai terdapat juga kebimbangan pertambahan hasil tidak dapat memenuhi semua perancangan. Sebaliknya, kata beliau, perancangan jangka panjang yang lebih agresif dan menyeluruh diperlukan dalam usaha memperbaiki kesejahteraan hidup rakyat.
Hal itu kerana golongan berpendapatan rendah masih terlalu besar jumlahnya dan agak tertekan berikutan keadaan ekonomi global tidak menentu, terutama perang tarif dan kejatuhan harga minyak global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Sepatutnya itulah (meningkatkan bantuan) matlamat utama SST tambahan (perluasan) iaitu untuk meningkatkan geran serta bantuan terus kepada golongan yang memerlukan.
"Cuma cabarannya di Malaysia, hampir 50 peratus penduduk kini tergolong dalam kumpulan B50, iaitu kelompok yang memerlukan bantuan.
"Kemudian kita mempunyai 40 peratus kumpulan M40 (kelas menengah) yang dianggap mempunyai pendapatan yang cukup dan tidak memerlukan bantuan. Kemudian ada 10 peratus lagi T10 (kumpulan berpendapatan tinggi).
"Di Malaysia kumpulan M40 sebenarnya tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk hidup dengan selesa.
"Jadi, kita akan lihat kalau pun cukai lebih banyak dikutip, ia akan berbalik kepada kumpulan B50," katanya kepada Suara Keadilan.
Oleh yang demikian, beliau berpendapat, kumpulan M40 yang agak terkesan perlu diberi beberapa bentuk bantuan yang munasabah berikutan kenaikan kos sara hidup.
Malah katanya, sesetengah cukai ke atas barangan yang diklasifikasikan sebagai mewah seperti ikan salmon dilihat memberi kesan langsung kepada golongan M40 yang turut menggunakan barangan tersebut.
"Ini menyebabkan peningkatan kos sara hidup bagi kumpulan M40, meskipun mereka tidak tergolong dalam kumpulan berpendapatan tinggi sebenar.
"Jumlah bantuan yang diberikan untuk B50 juga sebenarnya tidak begitu besar, kerana jumlah yang diberi sekarang misalnya dalam RM2,000 setahun, bermakna lebih kurang tidak sampai RM200 sebulan untuk setiap orang.
"Jadi maknanya dalam jangka pendek, SST ini tidak akan (terlalu) mengubah keadaan, tetapi kita perlu merancang untuk jangka panjang untuk lebih agresif dalam usaha membaiki kesejahteraan hidup rakyat " ujarnya lagi.
Perluasan SST yang dirancang kerajaan akan dikenakan secara bersasar terhadap barangan yang dianggap tidak digunakan oleh kebanyakan kelas masyarakat bawahan, dan dikategorikan sebagai mewah.
Hal itu memperlihatkan barangan pilihan tertentu antaranya ikan salmon, king crab, buah-buahan import akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba, lukisan tangan antik dan sebagainya.
Mulai 1 Julai ini, Kerajaan Madani akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST secara bersasar.
Comments