Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Mohd Khairool Ngadon menyifatkan kerajaan perlu memperkenalkan pakej bantuan jika berhasrat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dalam masa terdekat.
Beliau mengakui PKP penuh menjadi buah mulut memandangkan kumulatif harian kes Covid-19 melebihi angka 6000 dan Selangor mencatat lebih 2000 kes selama dua hari berturut-turut
“Sudah tentunya ia mendatangkan panik kepada warga Selangor.
“Selangor yang rencam dalam sosio ekonominya dan menerima pemastautin penduduk dari pelbagai negeri dan negara dilihat sebagainya faktor utama kepada peningkatan kes harian Covid-19 di negeri ini terutamanya dalam sektor perkilangan.
“Melalui dapatan dan penelitian kluster yang ada, lebih 60% merupakan kluster tempat kerja.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berubah-ubah mengelirukan rakyat dan mempunyai kelompongan juga dilihat menjadi faktor penularan penyakit ini,” katanya.
Pada masa sama, Khairool menganggap tindakan warga maya menyalahkan kerajaan Negeri Selangor kerana gagal menutup operasi kilang ini adalah tidak wajar.
“Harus difahamkan oleh semua bahawa sebarang tindakan dan usaha mencegah Covid-19 adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan peruntukan undang-undang AKTA PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988 (Akta 342).
“Kerajaan Negeri Selangor termasuk negeri dalam Malaysia wajib melaksanakan sebarang arahan dari MKN,” katanya.
Bagaimanapun, Khairool menganggap Selangor sudah bersedia secara mental dan fizikal dengan apa jua tindakan atau usaha yang bakal dimaklumkan oleh MKN demi mengekang penularan wabak ini yang kini menjadi sporadik.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika ingin diperkenalkan semula seperti tahun lalu mestilah hadir dengan pakej kemanusiaan tanpa birokrasi yang merumitkan.
“Rakyat tiada pilihan lain selain hanya mematuhi arahan dari Kerajaan Malaysia walaupun pentadbirannya dilihat gagal dan ada tindakan penguatkuasaan bersifat selektif kepada golongan tertentu.
“Tanggungjawab memerangi Covid-19 adalhah tanggungjawab bersama, namun Kerajaan Malaysia harus lebih bertanggungjawab untuk bertidak lebih jujur dan ikhlas,” katanya.
コメント