Dewan Negara memerlukan komposisi 50% wanita sebagai anggota dewan bagi mencapai kemampanan dalam membuat keputusan meluluskan dasar negara.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Senator Fadhlina Sidek, ahli Dewan Negara boleh dengan mudah ditingkatkan mencapai kuota perwakilan seimbang gender kerana dilantik oleh parti parti politik atau kerajaan, dan tidak sebagaimana ahli Dewan Rakyat yang memerlukan ketrampilan tertentu untuk dinilai rakyat melalui proses pilihan raya.
"Dalam Simposium Kepimpinan wanita Dalam Politik kelmarin saya telah menegaskan bahawa perlu ada iltizam politik yang jitu menambah Ahli Dewan Negara Wanita sehingga mencapai komposisi dan representasi sehingga 50%.
"Persoalan tentang komposisi Ahli Dewan Negara wanita yang perlu ditambah dalam konteks “berperlembagaan” memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% representasi wanita. Ketika ini komposisi Ahli Dewan Negara wanita adalah 17%.
"Kita sedia maklum lantikan Dewan Rakyat melalui proses pilihan raya, sebaliknya Dewan Negara lebih mudah untuk komposisi perwakilan wanita ditambah kerana hanya memerlukan proses lantikan.
"Oleh itu, Dewan Negara harus menjadi perintis dalam mencapai tadbir urus yang baik dengan penglibatan sama rata oleh wanita," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fadhlina lagi, wanita di Malaysia begitu banyak yang berpendidikan tinggi dan tidak mempunyai halangan untuk melepasi syarat kelayakan bagi dilantik sebagai senator sebagaimana Perkara 45 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan pelantikan Ahli Dewan Negara berkelayakan tertentu iaitu, perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, kebudayaan atau perkhidmatan sosial dan mewakili ras komuniti
Justeru, katanya, kesenjangan gender tidak harus wujud dalam bidang kepimpinan mahupun politik. Perbedaan tersebut tidak akan menzahirkan suasana keadilan.
"Sudah tiba masanya Dewan Negara diberikan lonjakan baharu dalam aspek keterangkuman gender, terutamanya representasi wanita dalam Dewan Negara sebagai pentas legislatif tertinggi di Parlimen Malaysia," katanya lagi.
Comments