
Oleh: Fiza Halim
Tindakan kerajaan Melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia malaysia (MCMC) memperkenalkan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mulai 1 Januari lalu merupakan langkah yang tepat.
Bagi Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Bryan Ng Yih Miin, tindakan itu akan mampu mengatasi pelbagai masalah melibatkan media sosial khususnya buli siber, scammer dan aktiviti perjudian yang berleluasa sebelum ini.
"Pertama, kita perlu melihat kepada kegiatan yang tidak baik dalam beberapa platform (media sosial) terutama Facebook, TikTok dan juga Instagram.
"Sebagai contoh, kita lihat trend scammer semakin berleluasa di semua platform media sosial, untuk membendung isu ini, kerajaan harus bertindak untuk menyekat kandungan berunsur scam dan sebagainya.
"Pada masa sama, kita tidak mahu lebih ramai mangsa terlibat dan tindakan boleh diambil dalam menjejaki siapa yang buat perkara ini apabila platform media sosial sudah dilesenkan, dan mereka perlu memberi kerjasama dalam membendung masalah ini," katanya ketika dihubungi.
Untuk rekod, jenayah scam atau penipuan atas talian berdasarkan statistik dikeluarkan oleh MCMC meningkat dari tahun 2022 sebanyak 2,675 kes kepada 4,180 pada 2023.
Oleh itu, kata Bryan, kerajaan sewajarnya bertindak segera bagi mengekang masalah tersebut daripada terus merebak.
Begitu juga jenayah seksual melibatkan kanak kanak, katanya, semakin meningkat tahun ke tahun.
"Banyak benda tidak baik berlaku, bukan sahaja scam tetapi termasuk judi, pornografi, dan kes-kes pelacuran semuanya di media sosial," katanya lagi.
Untuk rekod, pada Disember tahun lalu Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588), yang mana seksyen 263 diketatkan dan mensyaratkan pemegang lesen perlu mencegah "perlakuan serta cubaan perlakuan kesalahan" yang sebelumnya bukan kewajiban mandatori platform media sosial.
Untuk perlindungan kanak kanak pula penalti lebih tinggi dikenakan kepada penjenayah, iaitu penjara 5 tahun dan denda RM1 juta.
Comments