Pelantikan kerajaan: Tidak lagi guna SD, secara blok selepas lulus Akta Lompat Parti



Pelantikan Perdana Menteri (PM) tidak lagi menggunakan kaedah mengumpul Akuan Berkanun (SD) tetapi secara sokongan daripada keseluruhan parti yang disampaikan oleh pengerusi parti kepada Yang di-Pertuan Agong.


Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh mempertikaikan tindakan Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin yang terus mempersoalkan keabsahan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga semalam.


Katanya, tindakan Mahiaddin itu tidak wajar kerana beliau juga terlibat dalam meluluskan Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti kira kira 6 bulan lalu.


"Saya rasa dia sedang merasai perasaan macam kita jatuh dulu (Mac 2020). Kita nak tahu berapa banyak sokongan. Kita kata masa itu kita ada bilangan yang lebih mencukupi tetapi ditolak.


"Cuma sekarang dan dulu berbeza. Dulu tak ada undang undang anti lompat parti, tak ada secara blok (sokongan). Setiap Ahli Parlimen penting sokongan dia. Sebab itu kita lihat kepada SD.


"Sekarang kita dah ada (kaedah) en block dan tidak perlu melihat lagi kepada Akuan Berkanun.


"Bukan jumlah itu yang jadi penentu sekarang tetapi lebih kepada blok. Jadi bila BN bertemu dengan istana, yang pergi adalah wakil mereka, presiden, timbalan dan setiausaha agung BN.


"Jadi itulah sepatutnya berlaku, bukan berdasarkan kepada jumlah SD," katanya.


Mengenai keabsahan jumlah sokongan, Syed Ibrahim berkata, penjelasan Anwar dalam sidang medianya semalam bahawa agenda pertama dalam sidang parlimen pada 19 Disember depan adalah Undi Percaya sudah cukup untuk membuktikan sokongan, dan itulah kaedah yang diakui Perlembagaan Persekutuan.


"Saya pun orang tanya. Tetapi bila selesai proses pelantikan, Agong memang tak kan beritahu berapa jumlah sokongan. Itu adalah atas kepercayaan majoriti. Tak ada satu jumlah diberitahu kepada semua. Kalau en block pun berapa jumlahnya.


"Jadi akhirnya saya rasa, semalam Datuk Seri Anwar sebagai PM menjelaskan antara usul pertama dia ialah Undi Percaya di Dewan Rakyat. Itu bagi saya satu tindakan yang berani dan sepatutnya. Kalau itu dah disebut, bagi saya Anwar sahut cabaran oleh Perikatan Nasional.


"Itu bagi saya satu usaha yang berani dan ada risiko. Namun itu satu yang baik, kita bertindak atas pendekatan yang betul. Kita yakin sebenarnya sokongan diberikan oleh blok parti," katanya lagi.


Terdahulu, dalam sidang medianya semalam, Mahiaddin terus mendakwa beliau paling layak diangkat sebagai PM kerana mempunyai 115 SD, yang antaranya 10 daripada Ahli Parlimen Umno, biar pun Umno telah mengumumkan penarikan balik 10 SD berkenaan kelmarin.


Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti atau Akta A1663 telah mula dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022 di peringkat Persekutuan. Bagaimanapun kuatkuasa di peringkat negeri bergantung kepada kelulusan Dewan Undangan Negeri masing masing.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER