top of page

Perkukuh solidariti ASEAN hadapi tekanan geopolitik global - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 hours ago
  • 2 min read
Pemimpin ASEAN kukuhkan solidariti serantau di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, di Filipina
Pemimpin ASEAN kukuhkan solidariti serantau di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, di Filipina

ASEAN perlu memperkukuh solidariti serantau dan mempercepat kerjasama strategik bagi menghadapi tekanan geopolitik global yang kian menjejaskan keselamatan tenaga, keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan di rantau ini, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata tiada negara mampu mendepani krisis global secara bersendirian, sebaliknya memerlukan tindak balas kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN.


"Tiada negara mampu menghadapi kemelut ini secara bersendirian. Kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang berpaksi pada solidariti ASEAN mesti terus diperkasa," katanya menerusi hantaran di Facebook selepas berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina hari ini.


Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong usaha mempercepat pelaksanaan ASEAN Power Grid, memperkukuh mekanisme keselamatan petroleum serantau serta memperluas jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi kerangka ASEAN-GCC-China bagi menjamin daya tahan tenaga jangka panjang.


Beliau turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan tenaga global kini memberi tekanan besar terhadap sistem makanan serantau, apabila kenaikan harga bahan api meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran makanan.


"Jika gangguan berterusan, ASEAN berdepan risiko hasil pengeluaran yang lebih rendah serta inflasi makanan berpanjangan sehingga tahun depan. Keterjaminan makanan mesti dianggap sebagai keutamaan strategik serantau," katanya.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan kajian segera bagi mewujudkan mekanisme kesiapsiagaan serantau untuk menangani krisis makanan, termasuk penyelarasan stok kecemasan dan pengukuhan ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve bagi memastikan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.


Dalam masa sama, Anwar berkata keselamatan rakyat ASEAN di kawasan konflik turut memerlukan koordinasi lebih kukuh menerusi perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan serantau.


Beliau berkata ASEAN perlu terus kekal sebagai “wahana kestabilan, keterangkuman dan daya tahan serantau” ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing.


Merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN yang diterima pakai tahun lalu, Anwar berkata dokumen hala tuju 20 tahun itu mengiktiraf bahawa keterjaminan tenaga, keselamatan makanan, kestabilan rantaian bekalan dan ketersambungan serantau kini menjadi keperluan strategik utama bagi kelangsungan ekonomi ASEAN.


Beliau turut menegaskan sokongan Malaysia terhadap pelaksanaan Rangka Kerja ASEAN bagi Perjanjian Keterjaminan Petroleum (APSA), sambil menyifatkannya sebagai perlindungan penting ketika pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun.


"Kita perlu mempelbagaikan sumber bahan api fosil dan mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan yang rentan. Kerjasama strategik dengan rakan dipercayai dan blok serantau mampu memperkukuh keterjaminan tenaga jangka panjang ASEAN," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page