Perkukuh mekanisme aduan, perlindungan murid daripada buli - Karen Kasturi
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memperkukuh keseluruhan sistem aduan, perlindungan dan tindakan bagi memastikan murid yang berdepan buli, ugutan, penghinaan atau diskriminasi mendapat perlindungan sewajarnya.
Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi (gambar) berkata, kematian Keziah Nisha, 14, merupakan tragedi menyayat hati dan pada masa sama perlu menjadi pencetus kepada usaha memperkemas sistem perlindungan murid.
"Sementara menunggu siasatan menentukan fakta dan keadaan sebenar yang berlaku, kita juga perlu memastikan sistem perlindungan murid terus diperkukuh supaya setiap anak yang berdepan dengan buli, ugutan, penghinaan atau diskriminasi dapat bersuara dan diberikan perlindungan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan media.
Karen turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Keziah atas kehilangan yang amat berat itu.
Menurutnya, terdapat dakwaan serius berkaitan pengalaman Keziah sebelum kematiannya, termasuk dakwaan perbuatan buli, kata-kata berunsur perkauman serta dakwaan bahawa kebimbangan mengenai perkara berkenaan pernah dibangkitkan oleh keluarganya.
"Semua perkara ini mesti disiasat secara menyeluruh, telus dan berasaskan bukti. Tiada kesimpulan wajar dibuat sehingga proses siasatan selesai," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata tragedi itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai keupayaan sistem bertindak dengan pantas apabila murid atau keluarganya membuat aduan.
"Apabila seorang anak, ibu bapa atau penjaganya membuat aduan, secepat manakah sistem kita mampu bertindak untuk melindunginya?" soalnya.
Karen berkata, Malaysia kini mempunyai Akta Antibuli 2026 [Akta 876] dan Tribunal bagi Antibuli sebagai sebahagian daripada kerangka baharu untuk memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli.
"Kewujudan undang-undang dan Tribunal ini merupakan suatu langkah penting. Namun begitu, keberkesanannya bergantung pada sejauh mana keseluruhan sistem aduan, perlindungan dan tindakan dapat berfungsi dengan cepat, terselaras dan berkesan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru KPM memastikan mekanisme aduan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diselaraskan dengan jelas dengan mekanisme di bawah Akta Antibuli 2026.
Ia termasuk menyediakan laluan kepada Tribunal bagi Antibuli bagi kes yang memenuhi syarat dan berada dalam bidang kuasanya, katanya.
"Seorang murid, ibu bapa atau penjaga yang membuat aduan tidak sepatutnya terpaksa berurusan dengan pelbagai saluran tanpa mengetahui pihak yang bertanggungjawab atau tindakan yang akan diambil seterusnya," katanya.
Karen berkata setiap aduan serius perlu disusuli penilaian risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan murid, penentuan pihak bertanggungjawab, tempoh tindakan yang jelas, pemantauan berterusan serta pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga.
Bagi aduan yang tidak diambil tindakan atau tidak diuruskan dengan sewajarnya di peringkat institusi pendidikan, kata Karen, pengadu perlu diberikan maklumat jelas mengenai hak mereka serta saluran lanjut yang tersedia di bawah Akta Antibuli 2026.
"Sekiranya terdapat unsur yang disyaki merupakan suatu kesalahan jenayah, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan tanpa berlengah," katanya.
Beliau turut menegaskan perlindungan terhadap murid perlu bermula sebaik sahaja sesuatu aduan diterima.
Karen berkata. suara Keziah dan kebimbangan yang dibangkitkan keluarganya tidak boleh dipandang ringan sebaliknya segala dakwaan perlu disiasat dengan teliti dan adil.
"Pada masa yang sama, kita mesti memastikan bahawa sistem yang menerima rintihan seorang anak mampu bertindak sebelum keadaan menjadi lebih serius.
"Aduan bukan sekadar rekod. Aduan ialah pencetus kepada tanggungjawab untuk melindungi," katanya.
Beliau berkata KPM perlu memastikan keseluruhan rantaian perlindungan murid berfungsi dengan berkesan, bermula daripada penerimaan aduan pertama, penilaian risiko dan perlindungan segera, sehinggalah kepada siasatan, tindakan dan, apabila berkenaan, rujukan kepada saluran undang-undang yang tersedia.
"Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat bagi setiap anak, tanpa mengira kaum, agama, rupa paras atau latar belakang," katanya lagi.




Comments