Perkukuh komunikasi, rakyat perlu dapat maklumat tepat - Fahmi


Kementerian Komunikasi akan terus berusaha memperkasakan penyampaian maklumat kerajaan agar dasar, program, dan bantuan dapat difahami rakyat dengan jelas dan tepat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyelarasan jentera komunikasi kerajaan diperkukuh melalui pegawai penerangan, pegawai perhubungan awam (PRO) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di semua kementerian dan agensi.
"Sekiranya kita mempunyai sesuatu produk atau perkhidmatan tetapi kumpulan sasaran tidak mengetahui kewujudannya, maka di situlah berlakunya masalah komunikasi," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Penerangan (JAPEN) di Cyberjaya pada Jumaat.
Fahmi menekankan kejelasan maklumat terutama bagi program bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), MySalam, dan bantuan awal persekolahan adalah penting.
Justeru, penggunaan bahasa yang mudah, bersahaja, dan sesuai konteks tempatan sangat diperlukan bagi mengelak jurang kefahaman antara kerajaan dan rakyat.
"Arahan saya kepada mereka (warga JAPEN) ialah bahasa yang digunakan mesti berpijak di bumi yang nyata. Bahasa digunakan mestilah tepat dan sesuai, bukan sekadar bahasa rasmi atau bahasa Putrajaya," tambahnya.
Terdahulu pada Khamis, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut menegaskan pentingnya komunikasi yang jelas supaya rakyat memahami sepenuhnya semua inisiatif kerajaan dan mengurangkan istilah formal yang sukar difahami.




Comments