Perkhidmatan pemindahan organ diperkasa sebagai agenda kebangsaan
- Suara Keadilan

- Dec 31, 2025
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perkhidmatan pemindahan organ negara akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan bermula 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata langkah itu selaras dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat bagi memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan perkhidmatan pemindahan organ di peringkat negara.
Jelasnya, tempoh dua tahun kebelakangan ini, KKM telah membina semula asas Perkhidmatan Pemindahan Organ Nasional dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan struktur NTC yang sebelum ini beroperasi di bawah Hospital Kuala Lumpur.
"Kini, Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) telah dinaik taraf dan dinamakan semula sebagai NTC, serta diletakkan secara langsung di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan, ibu pejabat KKM.
"Peralihan daripada sebuah unit hospital kepada pusat penyelarasan nasional ini membolehkan NTC diberikan mandat untuk memacu dasar pemindahan organ di seluruh negara," katanya menerusi hantaran di platform X.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menegaskan, walaupun Malaysia memiliki kepakaran klinikal yang kukuh serta infrastruktur awam dan swasta yang baik, kadar pemindahan organ masih rendah berbanding keperluan sebenar.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan kes kegagalan organ tahap akhir akibat penyakit tidak berjangkit, selain jurang sistemik dalam aspek pencegahan dan penjagaan awal.
Sehubungan itu, antara inisiatif utama yang digariskan pihaknya ialah cadangan penubuhan Majlis Pemindahan Organ Kebangsaan yang akan berperanan sebagai badan autoriti bagi pengurusan data dan sumber berkaitan pemindahan organ.
"Kementerian turut menjalin perkongsian awam-swasta dengan penglibatan pakar dari hospital swasta dan universiti bagi membentuk pasukan perolehan organ kebangsaan.
"Selain itu, semakan semula Dasar Pemindahan Organ, Tisu dan Sel Kebangsaan 2007 kini berada di peringkat akhir bagi diselaraskan dengan piawaian global.
"Semakan terhadap Akta Tisu Manusia 1974 juga sedang dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan penderma hidup serta menambah baik proses pemindahan organ," katanya.









Comments