Perkhidmatan NADI on Wheels bantu mangsa banjir akses khidmat digital
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW)Â ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan komuniti yang terjejas akibat bencana banjir di Pahang.
Unit Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, antara perkhidmatan yang disediakan kepada mangsa banjir di PPS tersebut termasuk kemudahan Internet percuma, saringan kesihatan asas serta aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
Katanya, inisiatif tersebut bertujuan memastikan mangsa kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.
"Pengoperasian NOW ini dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di negeri berkenaan.
"Bermula 19 Disember 2025, perkhidmatan NADI on Wheels telah digerakkan ke PPS Bukit Setongkol bagi membantu mangsa banjir, khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti.
"Dilengkapi dengan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta kemudahan Wi-Fi percuma, NOW berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.
"Pendekatan ini memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas," kata MCMC dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya itu menambah, NOW merupakan inisiatif yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian Internet serta sokongan kepada komuniti secara terus di lapangan terutamanya kepada golongan rentan, pedalaman dan lokasi yang terkesan akibat bencana.
Katanya, MCMC akan terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan perkhidmatan NOW ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa, selaras dengan peranan NADI sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi dalam kalangan rakyat.





