top of page

Perkembangan politik Johor, N Sembilan: Kerajaan Perpaduan perlukan jawapan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 17
  • 2 min read

Masa depan Kerajaan Perpaduan berada dalam teka teki susulan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan yang memperlihatkan isyarat perubahan dalam kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).


Hal itu, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu tidak sebagaimana yang dicapai sepanjang tiga tahun lalu yang memperlihatkan hubungan antara PH dan BN kukuh menerusi kerjasama dalam beberapa siri pilihan raya kecil di seluruh negara.


"Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022 menyaksikan terbentuknya Kerajaan Perpaduan kerana tiada mana-mana pihak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.


"Tidak pernah saya menyangka bahawa Barisan Nasional, yang sekian lama menjadi musuh politik kita, khususnya Pakatan Harapan, akan bersama-sama membentuk kerajaan atas nama perpaduan," katanya dalam satu kenyataan.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, sebagai bekas pemimpin Pas, beliau sendiri pada awalnya tertanya-tanya bagaimana kerjasama dengan Umno dapat dilaksanakan, namun pengalaman sepanjang tempoh itu membuktikan persefahaman boleh dibina demi kepentingan negara.


Beliau mengimbau bahawa kerjasama pertama yang benar-benar menguji gabungan itu berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.


"Saya kagum dan teruja dengan kerjasama yang diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita berkempen bersama, makan bersama dan berjalan bersama-sama untuk memenangkan calon Pakatan Harapan serta Kerajaan Perpaduan di Simpang Jeram dan Pulai," katanya.


Menurut beliau, semangat sama diteruskan dalam beberapa lagi PRK termasuk di Pelangai, Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning apabila kedua-dua gabungan saling membantu tanpa mengira parti yang bertanding.


"Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu," katanya.


Bagaimanapun, Mohamad mempersoalkan sama ada kerjasama yang dibina sejak 2022 itu masih mampu dipertahankan berikutan perkembangan mutakhir politik.


"Tetapi kini, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila Barisan Nasional Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?"


Menurutnya, situasi di Negeri Sembilan turut menimbulkan persoalan apabila 14 ADUN Umno dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan pembentukan jajaran politik baharu.


"Paling mengejutkan, 14 ADUN Umno dan Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan ADUN pembangkang, termasuk Pas, untuk mengambil alih kerajaan negeri," katanya.


Beliau turut mendakwa menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) semakin jelas apabila kedua-duanya saling melengkapi agihan kerusi yang ditandingi.


Sehubungan itu, Mohamad berkata AMANAH yang merupakan antara tonggak pembentukan Kerajaan Perpaduan kini menantikan penjelasan mengenai hala tuju kerjasama tersebut.


"Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.


"Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?" katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page