Perkataan 'Madani', 'Perpaduan' tema Hari Kebangsaan bersifat universal - Wanita KEADILAN
- Redzuan Shamsudin

- Aug 22, 2023
- 1 min read

Pemuda Perikatan Nasional diminta berfikiran lebih rasional dan jangan mempolitikkan semua perkara sehingga mahu menggunakan tema dan logo sendiri dalam menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin berkata, cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini yang mahu 4 negeri ditadbir gabungan itu menggunakan logo dan tema berbeza adalah sesuatu yang janggal, memalukan dan tidak sewajarnya berlaku.
"Semua rakyat seharusnya sehati sejiwa, dalam satu semangat nasionalisme yang sama meraikan hari tersebut.
"Sengaja mencari pasal untuk berbeza tidak lebih hanya memperlihatkan PN inginkan perpecahan terus berlaku, waima dalam sambutan Hari Kebangsaan sekali pun.
"Di samping itu, meraikan Hari Kebangsaan dengan tema dan logo yang berbeza juga menunjukkan PN tidak faham dengan semangat federalisme dan kedudukan negeri-negeri dalam Malaysia," kata Noraini dalam kenyataan petang ini.
Menurut beliau, alasan kononnya tema disediakan kerajaan pusat mengandungi perkataan "madani" dan "perpaduan" tidak menjadikan sambutan Hari Kebangsaan itu bersifat politik.
Malah beliau berkata, kedua dua perkataan itu bersifat terbuka dan universal.
"Apa yang salahnya dengan tema itu?
"Terdapat perkataan Madani dan Harapan di dalamnya tidak menggambarkan ia bersifat politik kerana kedua-dua perkataan itu adalah universal dan boleh digunapakai oleh sesiapa saja.
"Dalam hal ini, PN haruslah sedar bahawa sambutan Hari Kebangsaan adalah acara negara yang diadakan pada setiap tahun di mana ia turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong.
"Ia bukan program politik atau berunsur politik, sebaliknya acara untuk mengingati tarikh pembebasan negara dari penjajahan dengan matlamat mengekalkan kesuburan semangat patriotisme yang tinggi dalam jiwa setiap rakyat negara ini," katanya lagi.
Tegas pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat itu, PN sebagai pembangkang hendaklah lebih bertanggungjawab kepada negara dalam setiap komen atau cadangan mereka dan tidak harus dalam semua perkara mementingkan laba politik semata-mata.




Comments