Perkasa jentera KEADILAN tarik sokongan pengundi muda - Izzah
- Suara Keadilan
- 54 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN perlu memperkasa jentera akar umbi dan merangka program yang mampu menarik sokongan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berkata, hasil kaji selidik menunjukkan 68 peratus anak muda tidak berminat dengan politik, dan situasi itu menuntut KEADILAN mengambil pendekatan lebih dekat dan realistik untuk mendepani cabaran itu.
"Bila bercakap dalam konteks masalah 68 peratus pengundi muda tidak minat dengan politik, maksudnya kita kena pastikan pendekatan mesti dekat dengan kehidupan mereka.
"Kita faham, mereka (pengundi 18 tahun) undi berdasarkan pilihan kawan, kalau dulu mereka dengar mak ayah undi parti A, dia hendak undi parti C, mereka tak nak ikut, mahu jadi rebel. Ini juga cabaran yang kita hadapi," katanya pada Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara di Bukit Mertajam.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Wanita merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Sementara itu, sebagai mengulas proses pemilihan yang sedang berlangsung, Nurul Izzah — yang bertanding jawatan Timbalan Presiden — menegaskan bahawa tumpuan utamanya adalah turun padang bertemu akar umbi, selain mempersiapkan parti menghadapi PRU dan beberapa pilihan raya negeri akan datang.
"Saya lebih fokus kepada usaha mempersiapkan parti untuk PRU16. Pemilihan penting, tetapi pilihan raya lebih penting bagi masa depan rakyat," katanya.