Perkasa ekonomi, peluang pekerjaan, infrastruktur di DUN Bukit Kepong
- Redzuan Shamsudin

- 5 minutes ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N07 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, C Subramani berikrar memperjuangkan pembangunan menyeluruh kawasan itu dengan memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, pemerkasaan usahawan, pelancongan, perumahan mampu milik dan penambahbaikan infrastruktur.
Menurut beliau, setiap kawasan mempunyai potensi untuk maju sekiranya dipimpin dengan berkesan.
"Saya percaya setiap kawasan mempunyai potensi untuk maju jika dipimpin dengan amanah, perancangan yang baik dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata golongan muda perlu diberikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta keusahawanan bagi mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar kawasan.
"Saya mahu memastikan anak-anak muda Bukit Kepong mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pekerjaan berkualiti, latihan kemahiran, program TVET dan keusahawanan. Kita mahu mereka membina kehidupan dan keluarga di tanah air sendiri tanpa berhijrah semata-mata untuk mencari rezeki," katanya.
Subramani turut menegaskan komitmennya membantu usahawan tempatan dan peniaga kecil mendapatkan akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran serta teknologi bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berkata Bukit Kepong juga mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan sejarah, budaya dan alam semula jadi yang boleh merangsang ekonomi tempatan.
"Bukit Kepong mempunyai nilai sejarah yang tinggi serta keunikan budaya dan alam semula jadi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung. Dengan promosi yang berkesan serta penambahbaikan kemudahan pelancongan, kita mampu merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk," katanya.
Selain itu, beliau berjanji memperjuangkan pembinaan rumah mampu milik khususnya untuk golongan muda dan keluarga yang memerlukan, di samping memastikan isu kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan dan sistem saliran diberi perhatian.
"Jalan raya yang lebih selamat, lampu jalan yang mencukupi dan sistem saliran yang baik bukan satu kemewahan tetapi keperluan rakyat. Saya akan memastikan setiap isu berkaitan infrastruktur diberikan perhatian dan diperjuangkan sehingga mendapat penyelesaian," katanya.
Sehubungan itu, Subramani memohon sokongan pengundi Bukit Kepong agar memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.
"Justeru saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Bukit Kepong untuk bersama-sama membawa perubahan yang lebih baik. Berilah peluang kepada HARAPAN untuk terus bekerja dan berkhidmat," katanya.



Comments