Perkasa ekonomi antara lima tekad Soraya demi Sungai Balang
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Balang, Soraya Badaruddin mempertaruhkan lima tekad utama yang disifatkannya sebagai pelan tindakan realistik untuk memacu pembangunan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata lima tekad berkenaan dirangka hasil pertemuan dan sesi menyantuni rakyat sepanjang kempen, selain mengambil kira keperluan sebenar penduduk Sungai Balang.
"Saya sebagai calon DUN N16 Sungai Balang bukan sekadar untuk bertanding tetapi untuk membawa satu pelan tindakan yang realistik dan menyeluruh demi kesejahteraan seluruh warga di Sungai Balang.
"Setelah menyantuni, mendengar luahan dan harapan rakyat di Sungai Balang, saya sedar saya perlu menggariskan lima tekad utama sebagai iltizam saya untuk memacu perubahan yang mampan di Sungai Balang," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata tekad pertama memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi tempatan melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuh ekosistem usahawan, nelayan, petani dan perusahaan kecil agar ekonomi Sungai Balang terus berkembang secara mampan.
Menurutnya, aspek infrastruktur turut menjadi antara keutamaan dengan komitmen memperjuangkan jaringan jalan raya yang lebih baik, sistem saliran yang cekap, akses internet berkelajuan tinggi, pengangkutan awam yang lebih teratur serta kemudahan awam yang moden dan selesa.
Soraya juga mahu melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing menerusi peluasan akses pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), program peningkatan kemahiran serta pembangunan kepimpinan belia.
Dalam masa sama, beliau beriltizam memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan memastikan sistem penyampaian bantuan lebih menyeluruh dan bersasar kepada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta golongan B40, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, tekad kelima memfokuskan usaha membangunkan Sungai Balang sebagai sebuah DUN yang berdaya saing dan mampan melalui pemerkasaan sektor perikanan, pertanian moden, pelancongan domestik dan ekonomi digital tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar.
"Iltizam ini bukan sekadar janji, tetapi ia adalah tekad saya untuk berkhidmat demi mengangkat potensi penuh Sungai Balang. Perubahan yang kita dambakan memerlukan sokongan dan mandat padu daripada setiap lapisan masyarakat.
"Beri saya peluang untuk menterjemahkan tekad ini menjadi realiti. Satu undi untuk masa depan yang lebih gemilang. Satu undi untuk kestabilan dan kemakmuran bersama," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.




Comments