Perjuang reformasi inflasi perubatan, MP Bayan Baru dilantik Sahabat KKM
- Suara Keadilan

- Jul 31
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin diumumkan sebagai “Sahabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)” semalam, sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau dalam memperjuangkan reformasi dalam sistem penjagaan kesihatan swasta.
Beliau berkata, pelantikan itu akan membuka lebih banyak ruang untuk dirinya meneruskan perjuangan menuntut pembaharuan menyeluruh dalam sektor kesihatan termasuk menangani isu kenaikan kos rawatan di hospital swasta dan premium insurans yang semakin membebankan rakyat.
"Sekalipun saya bukan seorang Menteri, saya percaya boleh membawa reformasi bermakna sebagai Ahli Parlimen. Usaha saya sejak tahun lalu mula menampakkan hasil," kata Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan.
Tze Tzin turut memuji komitmen Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia yang melancarkan inisiatif reformasi menyeluruh dikenali sebagai RESET sebagai satu pelan bertindak yang merangkumi 11 inisiatif utama untuk memperkukuh sektor kesihatan swasta.
Sepanjang tempoh aktif memperjuangkan isu tersebut, beliau telah menjalinkan hubungan yang erat dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian.
"Dengan pelantikan ini, ia akan memudahkan saya untuk terus membawa suara rakyat dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan, sama ada awam mahupun swasta, menjadi lebih mampu milik dan berdaya saing," tambahnya.
Pelan RESET yang kini dalam fasa pelaksanaan, dijangka memberi impak besar terhadap landskap penjagaan kesihatan swasta di Malaysia termasuk dalam aspek ketelusan kos rawatan, perlindungan insurans yang lebih adil serta kerjasama lebih kukuh antara sektor awam dan swasta.









Comments