Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan AS perlu dimuktamadkan - PM
- Suara Keadilan
- a few seconds ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tentang kepentingan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi mendorong ketentuan dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Beliau berkata langkah itu selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagang utama sekali gus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih mapan.
"Malaysia dan AS perlu memastikan rundingan perjanjian ini dimuktamadkan kerana ia akan memberi manfaat strategik kepada dasar dan komuniti perniagaan di kedua-dua negara," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Anwar menerima kunjungan hormat daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer serta delegasi negara itu di Putrajaya bersempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di ibu negara.
Pertemuan itu turut menyentuh pandangan mengenai hubungan strategik Malaysia-AS serta kerjasama dengan ASEAN khususnya dari perspektif perdagangan.