Perjanjian Perdagangan Malaysia–AS ‘game changer’ ekonomi negara — Dr Mujahid
- Suara Keadilan

- 30 minutes ago
- 2 min read

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) disifatkan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (gambar) sebagai satu “game changer” yang mampu melonjakkan ekonomi negara, dengan manfaat yang jauh mengatasi mudarat meskipun beberapa risiko masih perlu diberi perhatian.
Berucap dalam perbahasan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Negara semalam, Timbalan Presiden AMANAH itu menegaskan bahawa penilaian terhadap perjanjian tersebut harus dilakukan secara menyeluruh dan objektif.
"Penilaian perjanjian ini mesti dilakukan secara adil dengan melihat kedua-dua sisi secara objektif, namun manfaat yang diperoleh setakat ini menunjukkan potensi besar kepada pertumbuhan negara," katanya.
Menurut Dr Mujahid, kejayaan Malaysia memperoleh pengecualian tarif bernilai RM8 bilion hingga RM9 bilion melibatkan ribuan produk memberikan kelebihan besar kepada pengeluar tempatan.
Beliau berkata perjanjian itu juga membuka ruang kepada peningkatan pelaburan langsung asing dari Amerika Syarikat dianggarkan RM20 hingga RM25 bilion dalam tempoh tiga tahun.
Dr Mujahid turut menekankan potensi besar sektor halal dengan nilai pasaran di Amerika Syarikat dianggarkan hampir RM300 bilion, sambil menyifatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global sebagai satu kelebihan strategik.
Perjanjian itu, katanya, dijangka mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), iaitu antara penyumbang utama eksport negara.
Namun, beliau mengingatkan bahawa perjanjian ART mempunyai risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
"Perjanjian ini tidak terlepas daripada risiko yang perlu dipantau secara serius," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan melindungi kedudukan Bumiputera, GLC serta GLIC dalam ekosistem ekonomi negara.
Dr Mujahid menambah bahawa Malaysia berdepan landskap geopolitik yang mencabar, khususnya perang dagang antara Amerika Syarikat–China.
"Malaysia berhadapan cabaran geopolitik yang rumit, khususnya persaingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang memerlukan kerajaan menimbang dengan teliti kedudukan strategik negara agar tidak terjerumus dalam konflik kuasa besar tersebut.
"Dalam masa sama, isu autoriti halal serta pengurusan data strategik negara perlu dijaga dengan teliti agar tidak terdedah kepada campur tangan luar," katanya.
Bagaimanapun, Mujahid menyambut baik komitmen kerajaan yang mengekalkan beberapa carve-outs utama merangkumi GLC, GLIC, perolehan kerajaan, autoriti halal serta perlindungan data strategik dalam mana mana perjanjian dengan negara luar.
Justeru, beliau menyeru agar kerajaan mengekalkan keseimbangan antara peluang ekonomi dan perlindungan kedaulatan negara dalam pelaksanaan perjanjian ART berkenaan.









Comments