Perjanjian Malaysia: Banyak perkara selesai dalam setahun - Anwar
- Suara Keadilan
- Dec 8, 2023
- 1 min read

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang banyak memberi hak kepada rakyat di Sabah dan Sarawak berjaya diselesaikan beberapa tuntutan utama dalam setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah untuk menyegerakan pelaksanaan MA63 ialah dengan mengarahkan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan sebarang hal berkaitan Malaysia Timur.
Katanya, Sabah telah menyelesaikan beberapa perkara utama, seperti pengembalian kuasa pengurusan bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri dan kuasa meluluskan projek kecil kepada negeri.
"..dalam tempoh setahun ini kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya. Saya jelaskan, kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen.
"Kalau ada fakta saya tiada masalah tetapi kalau putar belit saya terpaksa jawab," katanya dipetik Sabah Media.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kemabong, Sabah.
Empangan itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 bilion, dan mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Comentários