Perjanjian ART: Tokoh keselamatan tolak maruah negara tergadai, pembangkang tipu rakyat
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan MADANI menggadai kedaulatan negara kepada kuasa luar, runtuh apabila laporan pihak berautoriti mengesahkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) tidak menjejaskan kepentingan Malaysia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, taktik propaganda terbaharu pembangkang itu kini terbukti tidak lebih daripada helah politik murahan.
"Apa yang mereka laungkan sebagai krisis negara kini terbongkar sebagai penipuan politik semata-mata.
"Selama berminggu-minggu, mereka menyebarkan fantasi mengarut bahawa PM Anwar kononnya telah 'menyerahkan negara kepada Presiden Trump'.
"Namun hari ini, naratif penuh histeria itu telah runtuh. Seperti dilaporkan, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, selepas diberi taklimat penuh oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan apa yang logik untuk sesiapa pun iaitu perjanjian ART tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia," katanya dalam satu muat naik di Facebook.
Tambah Lokman lagi, Razarudin tidak berseorangan mengesahkan perkara itu, sebaliknya mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin serta Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Md Shah Yassin turut mencapai kesimpulan yang sama.
Ujar Pengarah Komunikasi UMNO itu lagi, mereka adalah individu berdekad mempunyai pengalaman mempertahankan negara, dan bukan 'boneka' politik yang sedang cuba membantu kebangkitan semula Mahathir.
"Penemuan mereka jelas iaitu semua proses sewajarnya dipatuhi sepanjang rundingan. Jabatan Peguam Negara dan pegawai MITI yang berpengalaman dalam diplomasi serta pentadbiran tidak mungkin sewenang-wenangnya mempertaruhkan kedaulatan negara.
"ART adalah perjanjian menang-menang yang mengukuhkan kepastian perdagangan, menarik pelaburan dan meningkatkan keyakinan ekonomi, bukannya menyerahkan negara kepada sesiapa.
"Taktik pembangkang kini berbalik memakan diri. Pembohongan mereka kononnya Malaysia telah 'diserahkan', telah terbongkar.
"Yang tinggal kini hanyalah satu hakikat yang tidak boleh disangkal iaitu isu ini tidak pernah mengenai kedaulatan. Ia mengenai cubaan mensabotaj PMX, menggoyahkan kerajaan perpaduan, dan menghidupkan semula naratif politik Mahathir yang sudah letih dan hari ini naratif itu tumbang dihentam fakta," katanya lagi.





