Peristiwa lompat parti yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dilakukan oleh Ahli Parlimen pada 2020 dan selepasnya tidak boleh disamakan dengan peristiwa 16 September 2008.
Hal itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) dalam membalas celahan Ahli Parlimen Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu - Beauford) yang mempersoalkan sama ada 40 Ahli Parlimen yang mahu menyokong Datuk Seri Anwar pada 2008 telah ditawarkan sogokan.
"Kalau ikut kenyataannya pada masa itu beberapa Ahli Parlimen menghubungi untuk menyokong usul Undi Tidak Percaya. Ia tiada kena mengena dengan lompat parti. Beauford biar faham sedikit.
"Oleh kerana itu Perdana Menteri (PM) pada waktu itu enggan meluluskan, mengizinkan sidang Parlimen Undi Tidak Percaya.
"Speaker seperti biasa patuh kepada PM. Berhubung dengan itu maka ada pesawat khas bawa Ahli Parlimen untuk belajar pertanian ke Taiwan.
"Tidak ada sogokan wang dan tidak ada jaminan kedudukan kepada mereka," kata Anwar mengimbau sejarah lebih 40 Ahli Parlimen BN dihantar ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar pada awal September 2008.
Malah Anwar menambah, perubahan sokongan Ahli Parlimen Umno pada tahun lalu juga berlaku tanpa tanpa sogokan kewangan atau jawatan.
"Termasuk yang terakhir Akuan Berkanun (SD) yang ditandatangani kepada Yang di-Pertuan Agong (menyokong Anwar sebagai PM). Bukan lompat parti. Mereka kekal dengan parti mereka. Saya tidak usulkan mereka lompat parti. Ramai ada di sini, jangan tanya.....
"Saya nak tunjukkan di sini kedudukan dan integriti politik parah, sehingga SD kepada Agong pun boleh dipermainkan. Ini tidak melibatkan pertukaran parti tetapi pendirian mereka menyokong Port Dickson (sebagai PM)..... Soal lompat parti ini, kita nak betulkan maruah politik," katanya.
Anwar berharap dengan akta baharu yang menolak lompat parti maka Malaysia tidak lagi diberi tanggapan buruk kerana sikap segelintir ahli politik yang tidak berprinsip dan boleh dibeli.
"Kita kalau kaji dari Wikipedia, Malaysia naik di antara negara yang melahirkan Ahli Parlimen tidak berprinsip, khianat dan boleh dibeli seperti apa yang berlaku dalam Langkah Sheraton.
"Ikhtiar terbaharu ini menghindari langkah berterusan kerana orang yang maha kaya boleh mencorakkan (membeli sokongan) apa yang berlaku," katanya lagi.
Commentaires