Perbelanjaan kerajaan tanpa kelulusan Parlimen adalah kebimbangan sah apabila Perikatan Nasional (PN) cuba mengusulkan darurat buat kali pertama pada Oktober tahun lalu.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kekhuatiran itu kini telah pun menjadi kenyataan apabila pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin mengeluarkan warta kerajaan membenarkan belanjawan tambahan dibuat tanpa melalui kelulusan Parlimen.
"Ada ungkapan yang selalu disebut, power corrupts; absolute power corrupts absolutely
"Inilah yang saya bimbangkan. Kuasa di bawah Ordinan Darurat memberi kuasa mutlak kepada Muhyiddin membelanjakan peruntukan tambahan tanpa diluluskan Parlimen," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau apabila Parlimen digantung maka tiada lagi sistem semak dan imbang seperti sediakala.
Maka dana yang diluluskan kelak, kata Hassan, tidak dapat disoal dibelanjakan ke mana atau untuk tujuan apa.
"Inilah kesan buruk akibat proklamasi darurat dan Parlimen digantung.
"PM Muhyiddin dan kabinetnya boleh bertindak bebas sesuka hati termasuk dalam hal perbelanjaan negara tanpa perlu patuh pada peraturan dan undang-undang sedia ada.
"Gejala ini membawa kepada salah guna kuasa, rasuah, pembaziran dan meningkatkan hutang kerajaan serta hutang negara," katanya lagi.
Hassan juga menukilkan bait-bait puisi untuk menggambarkan kekhuatirannya mengenai perjalanan kerajaan Malaysia dalam suasana kelam berpanjangan pemerintahan darurat.
Bangun Menentang
Aku tidak meminta-minta
Orang lain bangun melawan
Aku sendiri yang tua ini
Berdiri menentang
Dari awal lagi
Aku anggap Darurat ini batil dan salah
Sekarang ternyata
Sangkaanku benar
Apa guna
Jadi Ahli Parlimen bisu suaranya
Lalu, aku ketuk pintu mahkamah
Aku cabar segera tamatkan
kuku besi Proklamasi
Aku tuntut putuskan belenggu
yang merantai Parlimen
Bebas dan merdekakan suara rakyat
Selamatkan tanahair kita,
sekarang
Sebelum gerombolan pengkhianat itu
memusnahkan segala-segala
yang kita bina
selama ini.
Comments