Perang Dagang Trump: PMX Tampil Strategi Tingkat Daya Tahan Ekonomi
- Suara Keadilan
- Apr 10
- 2 min read

Oleh: Sandy Zaliu
ULASAN: Kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 membawa semula dasar “America First” yang menekan perdagangan global dan memberi cabaran besar kepada negara membangun seperti Malaysia.
Namun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Malaysia tidak hanya bertahan tetapi tampil dengan pendekatan baharu yang lebih tersusun dan berprinsip.
PMX menekankan pentingnya pelaburan berkualiti yang menjana pekerjaan bermaruah, pendapatan mampan, serta mobiliti sosial dan bakat. Melalui kerangka Malaysia MADANI, beliau mengangkat Malaysia sebagai suara utama Dunia Selatan memperjuangkan sistem perdagangan yang adil, seimbang dan bersifat saksama.
Di tengah ketidaktentuan global, Malaysia kini lebih bersedia dan bukan sekadar mengikut arus, tetapi membentuk hala tuju baharu ekonomi serantau.
Antara kesan dasar Trump dan tindakan strategik PMX:
1. Perang dagang memuncak, PMX tekankan pelaburan berkualiti
Ketegangan dagang AS-China membuka peluang pelaburan ke Malaysia (pelabur mengelak tarif tinggi di China), namun PMX menegaskan Malaysia bukan sekadar “kilang dunia”.
Dalam pelbagai forum antarabangsa termasuk di WEF Davos 2024, PMX menegaskan bahawa Malaysia hanya menerima pelaburan berkualiti dengan nilai tambah, teknologi, dan pekerjaan bermaruah yang menyokong pendapatan mampan dan mobiliti sosial.
Pendekatan ini diselaraskan menerusi kerangka dasar pelaburan nasional, dipacu oleh MIDA dan MITI, yang mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
2. Rantaian bekalan global terancam, PMX tekankan daya tahan ekonomi
Kembalinya Trump ke tampuk kuasa ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global kembali menghantui negara membangun. PMX bertindak awal dengan menekankan keperluan membina ekonomi berdikari dan tahan kejutan luar.
Dalam Belanjawan MADANI 2025, PMX memperuntukkan bajet dan sokongan besar kepada sektor strategik tempatan termasuk semikonduktor, industri makanan, serta tenaga boleh diperbaharui agar mampu memberikan perlindungan kepada ekonomi negara daripada tekanan global yang tidak menentu.
3. Penarikan AS dari TPP, Malaysia kukuh diplomasi Selatan Global
Kesan penarikan diri AS dari Trans-Pacific Partnership (TPP) yang berlaku ketika penggal pertama Trump masih dirasai. Kini, dengan beliau kembali menerajui White House, harapan untuk AS menyertai semula perjanjian perdagangan multilateral itu semakin tipis.
Sebagai tindak balas, PMX memperkukuh kerjasama serantau melalui ASEAN, BRICS dan Dunia Selatan. Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak G77 PMX menekankan keperluan kepada sistem perdagangan dunia yang lebih adil dan berasaskan kesaksamaan di mana negara membangun dilihat sebagai rakan sejajar, bukan sekadar pengguna atau pengeluar murah.
4. Polisi imigrasi ketat AS, bakat Malaysia dipelawa pulang
Dasar imigrasi AS menjadi lebih ketat, sekali gus menyukarkan rakyat Malaysia, khususnya pelajar dan profesional untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja AS.

Sebagai tindak balas, PMX mengarahkan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi dan mobiliti bakat, sambil menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Timur Tengah bagi membuka laluan alternatif untuk pengiktirafan antarabangsa bakat dari Malaysia.
Trump menghidupkan semula dasar unilateral yang memberi tekanan kepada negara membangun. Namun PMX menegaskan, Malaysia bukan lagi mangsa sebaliknya, muncul sebagai suara utama Dunia Selatan.
Dengan gabungan diplomasi ekonomi, pelaburan berasaskan nilai, dan visi MADANI, PMX meletakkan Malaysia sebagai pemain aktif yang bukan sahaja responsif terhadap perubahan global, tetapi turut membentuk naratif antarabangsa yang lebih adil dan bermaruah.
Malaysia kini lebih bersedia dengan dasar yang matang dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan berprinsip Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Comments