Oleh: Abdullah Zaid
Kurang 24 jam sebelum pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman membuang undi, perang poster dan bendera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat menghiasi warna warni kempen hampir 14 hari itu.
Biarpun hujan, tinjauan Suara Keadilan di sekitar pekan Chukai misalnya mendapati poster dan pesta bendera calon BN menghiasi kawasan strategik seperti di simpang jalan.
Markas-markas BN yang dijadikan tempat untuk jentera menyusun tugas juga kelihatan meriah diselimuti warna biru.
Selain itu, dijangkakan jentera BN mengadakan perjumpaan santai di markas PDM di DUN Kemasek pada malam ini sebagai penutup mengakhiri kempen sebelum hari pengundian.
Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengarah Jentera BN PRK Kemaman dalam laporan Utusan hari ini yakin rakyat akan mengundi partinya untuk merampas kerusi Parlimen Kemaman.
"Kalau beliau (Raja Mohamed Affandi) menang, mestilah ada sesuatu yang menguntungkan rakyat. Beliau bukan calang-calang orang, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, jawatan lima tertinggi dalam perkhidmatan awam. Pengiktirafan atas jasanya juga banyak," katanya dipetik.
Sabtu ini, seramai 141,790 pemilih berdaftar di Kemaman akan membuang undi bagi memilih wakil rakyat baharu bagi kerusi itu setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.
BN mencalonkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (BN) untuk berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.
Commenti