top of page

Perak stabil di bawah Perpaduan, PN selesaikan isu dalaman dahulu

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menegaskan negeri itu kini berada dalam keadaan stabil di bawah pentadbiran sedia ada, sambil menyifatkan dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa rakyat mahu gabungan itu kembali mentadbir sebagai tidak mencerminkan realiti sebenar.


Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim (gambar) berkata, kenyataan Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu, lebih bersifat persepsi politik berbanding gambaran keadaan semasa yang dinikmati rakyat.


"Kenyataan tersebut dilihat lebih bersifat persepsi politik berbanding realiti sebenar yang sedang dinikmati rakyat di negeri Perak hari ini," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, telah menunjukkan kestabilan serta keupayaan mengurus negeri secara berkesan.


"Kerajaan Perpaduan di Perak membuktikan kerjasama antara pelbagai parti mampu menghasilkan pentadbiran yang matang, berfungsi dan berorientasikan rakyat," katanya.


Beliau berkata, prestasi ekonomi negeri berada pada landasan yang baik, disokong oleh pengurusan kewangan berdisiplin termasuk rekod lebihan bajet, selain pelbagai inisiatif membantu rakyat menangani kos sara hidup.


"Lebih penting, pentadbiran negeri hari ini berlangsung tanpa politiking sempit yang menjejaskan fokus kepada rakyat," katanya.


Dalam masa sama, Khairol Najib mendakwa PN masih berdepan isu dalaman yang belum diselesaikan, termasuk perbezaan pandangan antara parti komponen.


"Soal asas seperti penentuan kepimpinan di peringkat negeri juga masih gagal dimuktamadkan. Bagaimana gabungan yang masih bergelut dengan ketidaksefahaman dalaman boleh meyakinkan rakyat untuk mentadbir?" katanya.


Menurut beliau, rakyat kini lebih menghargai kestabilan, kecekapan dan kesinambungan dasar berbanding retorik politik.


"Sekiranya PN benar-benar ingin mendapatkan semula kepercayaan rakyat, adalah lebih wajar untuk mereka menyelesaikan isu dalaman terlebih dahulu sebelum berbicara soal mengambil alih pentadbiran negeri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page