Penyatuan Melayu-Islam: Anehnya komponen PN-BN ada bukan Melayu - Haziq


Perubahan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan Pas-PN dilihat bercanggah dengan kenyataan pemimpin parti itu sejak tiga tahun lalu yang lantang mengkritik Pas, dan mendakwa sebagai rakan politik yang tidak boleh dipercayai.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, kerjasama antara BN dan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan bagaimana pendirian politik boleh berubah demi kuasa, malah mengibaratkannya seperti ‘meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri’.
"Selama ini, kita (Pakatan Harapan) tidak pernah mengutuk atau memburukkan Pas. Sebaliknya, pihak yang selama ini lantang mengecam Pas, mendakwa parti itu tidak boleh dipercayai, gemar mengkhianati rakan politik dan sebagainya ialah BN.
"Tapi sekarang BN sendiri yang bersama dengan Pas atas justifikasi penyatuan ummah sedangkan selama ini mereka pun pernah bergabung tetapi bergaduh (pada 2021)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perubahan pendirian BN yang kini terbuka untuk bekerjasama dengan Pas atas alasan ‘penyatuan ummah’, sedangkan sebelum ini banyak pemimpin Umno dilaporkan pernah menyifatkan parti itu sebagai suka 'tikam belakang'.
Mengulas lanjut, Iman Haziq mengakui beliau sukar memahami alasan penyatuan ummah Melayu-Islam yang digunakan BN-Pas kerana PH termasuk KEADILAN, turut mempunyai keanggotaan orang Melayu, sekali gus menyifatkan pendirian tersebut sebagai mengelirukan.
Sebaliknya, kata beliau, gabungan yang mengatakan diri mereka Melayu tulen (BN-PN) itu pula mempunyai parti komponen yang bukan Melayu dan malah bersikap bertentangan dengan perjuangan Islam, seperti MCA.
"Kadang-kadang saya tidak faham kerana apa yang mereka perkatakan itu seolah-olah menggambarkan keadaan mereka sendiri.
"PN sendiri mempunyai GERAKAN dan MIPP, manakala BN pula mempunyai MIC dan MCA," katanya sekali gus mempersoalkan konsistensi hujah berhubung penyatuan ummah.
Pada 19 Julai lalu, Pas mengajak rakyat negara ini khususnya pengundi menyatakan sokongan terhadap kerjasamanya dengan Umno.
Kemudian BN dan PN membentuk persefahaman dalam mendepani PRN Negeri Sembilan, selepas masing-masing tidak bertembung di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.




Comments