Penutupan UNHCR: Perlu pelan peralihan, elak kekosongan tadbir urus
- Suara Keadilan

- Dec 23, 2025
- 2 min read

Isu cadangan penutupan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia tidak wajar dilihat secara hitam-putih, sebaliknya memerlukan satu pelan peralihan yang terancang, berperingkat dan berasaskan realiti tempatan bagi memastikan tadbir urus pelarian kekal terpelihara.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang berkata, persoalan sebenar bukan sekadar penutupan UNHCR atas nama kedaulatan negara, tetapi tahap kesiapsiagaan Malaysia untuk mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab tersebut tanpa mewujudkan risiko keselamatan dan kemanusiaan.
"Penutupan pejabat antarabangsa tanpa mekanisme pengganti yang jelas berisiko mewujudkan kekosongan tadbir urus, khususnya di kawasan bandar seperti Wilayah Persekutuan dan Kepong, di mana komuniti pelarian telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem sosial dan ekonomi setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau yang berpengalaman bekerja di pejabat UNHCR, ketika ini dianggarkan lebih 190,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan hampir 70 peratus tertumpu di Lembah Klang.

"Jika tidak diurus dengan baik, boleh memberi implikasi kepada keselamatan awam, kesihatan, dan ketenteraman komuniti," ujarnya.
Sehubungan itu, Jeremy mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pelarian dan Pencari Suaka yang melibatkan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Parlimen sebagai mekanisme penyeliaan.
"Jawatankuasa ini wajar diberi mandat jelas untuk merangka sistem suaka domestik Malaysia yang berteraskan undang-undang negara, dengan garis masa peralihan, perkongsian data bersepadu serta standard tapisan keselamatan dan kesihatan awam yang ketat," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berfasa dengan UNHCR bagi memastikan pemindahan fungsi seperti pendaftaran dan pemantauan pelarian dapat dilaksanakan secara teratur.
"Kerjasama berfasa dengan UNHCR juga penting bagi memastikan pemindahan fungsi seperti pendaftaran dan pemantauan dapat dilakukan secara teratur, sekali gus mengelakkan “vakum keselamatan” yang boleh dieksploitasi oleh sindiket jenayah rentas sempadan. Pendekatan ini akan membolehkan kerajaan mengurus pelarian dari pelbagai latar belakang , termasuk Myanmar, Syria, Palestin, Afghanistan dan lain-lain dengan lebih sistematik dan berdaulat," jelasnya.
Dalam masa sama, Jeremy menegaskan bahawa usaha memperkukuh tadbir urus nasional tidak seharusnya mengorbankan prinsip kemanusiaan.
"Sebaliknya, ia mencerminkan kematangan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang bertanggungjawab, berkeupayaan dan diyakini di peringkat antarabangsa, sambil memastikan keselamatan, kestabilan serta kepentingan rakyat terus terpelihara," ujar Jeremy lagi.









Comments