Penubuhan Majlis Pendidikan Negara disambut baik - Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan

- Oct 24
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Dua penegasan penting yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen semalam melibatkan penubuhan Majlis Pendidikan Negara serta pengukuhan Kempen Anti Buli disambut baik Wanita KEADILAN.
Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit (gambar) berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih inklusif, progresif dan berpaksikan nilai kemanusiaan selaras dengan semangat Pendidikan MADANI.
"Penubuhan Majlis Pendidikan Negara merupakan platform menyeluruh bagi meneliti dasar, pendekatan serta hala tuju pendidikan Malaysia.
"Pelbagai pandangan daripada pendidik, pakar, ibu bapa dan masyarakat bakal dihimpunkan untuk membentuk sistem pendidikan yang berdaya saing serta relevan dengan cabaran semasa," katanya.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis, Perdana Menteri menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu buli dan gejala sosial di sekolah tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan disiplin semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan kepada pengukuhan sistem nilai dan pembentukan akhlak sejak peringkat awal.
Mengulas usaha pengukuhan Kempen Anti Buli yang akan dilaksana di seluruh negara, Noraziah menyifatkannya sebagai seruan penting kepada seluruh masyarakat untuk memerangi budaya tidak sihat itu dalam semua bentuk sama ada fizikal, emosi mahupun siber.
"Isu buli tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia merosakkan budaya hormat dan kasih dalam masyarakat. Setiap sekolah mesti menjadi zon selamat untuk anak-anak membesar dengan keyakinan, kasih sayang dan sokongan moral.
"Pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi juga pembentukan insan yang beradab dan berempati," kata Ketua Wanita KEADILAN Pasir Gudang itu.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan keyakinan bahawa langkah diumumkan Perdana Menteri itu akan menjadi permulaan kepada transformasi pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan berjiwa rakyat.









Comments