Penstrukturan Petronas autonomi syarikat, tiada kaitan dengan kerajaan
- Suara Keadilan
- Jun 9
- 2 min read
Updated: Jun 15

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young menepis dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan gagal mempertahankan syarikat milik negara yang penting iaitu Petroliam Nasional Berhad (Petronas) susulan pengurangan 5,000 kakitangan, kebanyakannya yang berstatus kontrak.
Menurut beliau, syarikat minyak dan gas nasional itu bukan mengalami kemerosotan, sebaliknya sedang giat melaksanakan penstrukturan semula yang strategik serta transformasi digital menyeluruh.
Ujarnya, Petronas masih merupakan antara syarikat minyak dan gas milik negara yang paling berdaya saing di dunia.
"Pelan penstrukturan semula ini selaras dengan perancangan jangka panjang untuk pendigitalan, automasi dan peningkatan produktiviti.

"Ini merupakan langkah proaktif agar Petronas kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi peralihan tenaga global dan desakan terhadap ekonomi hijau.
"Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang penuh dengan maklumat mengelirukan dan bersifat provokatif berhubung langkah reformasi dalaman yang diumumkan Petronas termasuk penstrukturan semula tenaga kerja.
"Justeru, kita perlu menangkis tuduhan ini secara tegas dan menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat," katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, David berkata, harga minyak bukanlah satu-satunya faktor, sebaliknya struktur industri telah berubah secara menyeluruh.
Katanya, Tong Keong menggunakan alasan bahawa harga minyak mentah semasa adalah lebih tinggi daripada paras rendah sebelum ini untuk mempertikaikan langkah Petronas.
"Ini menunjukkan beliau gagal memahami realiti semasa industri tenaga, yang kini berdepan tiga cabaran utama iaitu peralihan pantas ke arah tenaga rendah karbon telah mengubah peranan minyak dalam ekonomi global, penggunaan meluas teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) menggantikan kerja-kerja rutin, dan ketiga adalah transformasi digital yang menjadikan sesetengah pekerjaan tidak lagi relevan secara kekal.
"Jika Petronas tidak bergerak seiring dengan perubahan ini, barulah kita akan menyaksikan kemerosotan sebenar," katanya.
Tegas beliau, Kerajaan Perpaduan selama ini kekal dengan prinsip mempertahankan pengurusan profesional Petronas dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman.
"Kerajaan Perpaduan sentiasa menjunjung prinsip tadbir urus profesional dan tidak pernah campur tangan dalam pengurusan atau urusan sumber manusia Petronas," katanya lagi.
Dalam pada itu, David terus menempelak Tong Keong yang seharusnya menghormati autonomi korporat Petronas dan bukan menjadikannya alat menyerang lawan politik jika benar-benar mengambil berat soal syarikat milik negara.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan kata David, laporan kewangan Petronas bagi tahun 2024 telah menunjukkan keuntungan yang kukuh serta sumbangan berterusan kepada hasil kerajaan.
"Dividen dan cukai yang disumbangkan oleh Petronas masih menjadi tunjang kepada kestabilan fiskal negara.
"Syarikat seperti Petronas mesti bergerak seiring dengan perkembangan zaman jika mahu terus menjadi tulang belakang ekonomi negara.
"Kita menyeru semua pemimpin politik agar menghentikan retorik murahan dan sebaliknya berganding bahu membantu negara melangkah ke arah pembangunan lestari dan masa depan yang mampan," tegas beliau lagi.
Kommentarer