top of page

Penjimatan subsidi bersasar disalur kepada pengangkutan awam, STR rakyat



Penjimatan daripada langkah penyasaran subsidi diesel akan dikembalikan kepada rakyat khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, penyasaran subsidi itu bukan tindakan popular namun ia memberikan penjimatan RM4 bilion setahun dan pelaksanaannya telah melalui penelitian rapi di pelbagai peringkat.


"(Penjimatan penyasaran subsidi) diesel itu adalah untuk tampung keperluan pengangkutan awam iaitu pengangkutan rakyat.


"Bayangkan STR untuk sembilan juta orang (penerima) yang (mendapat) subsidi tunai secara langsung, itu RM10 bilion. Wang (penyasaran subsidi) itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini (bantuan rakyat)," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.


Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.


Bagaimanapun, beliau berkata penyasaran subsidi itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.


Sementara itu, Anwar menegaskan penyasaran subsidi diesel berkenaan dilaksanakan untuk memastikan diesel tidak diberi kepada golongan maha kaya dan orang asing.


"Saya beritahu rakan Jemaah Menteri, kita kena buat keputusan baik, harus bantu rakyat majoriti. Kita tidak harus beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri-industri besar dan orang asing.


"(Hal ini) bukan diskriminasi kepada orang asing kerana mereka tak bayar cukai ... cukai levi yang (dibayar pun) sangat kecil. Tanggungjawab pertama kita adalah kepada warganegara kita," kata Anwar.


Beliau berkata pelaksanaan subsidi diesel bersasar diterima baik parti dalam Kerajaan Perpaduan dan sebahagian pembangkang namun mahu dasar tersebut terus dipantau supaya tidak timbul sebarang permasalahan.


"Setakat ini, nampak kenyataan daripada pimpinan Pas agak lunak, tidak menentang hanya memantau. Tiada masalah kerana pembangkang harus pantau pelaksanaan dan kita juga harus pantau.


"Subsidi (diesel) diteruskan kepada nelayan, pengangkutan awam, pekebun kecil mencecah 30,000 termasuk pekebun sayur Cameron Highlands kerana tak mahu perkara itu dijadikan alasan untuk menaikkan harga," kata beliau.


Anwar berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya ketika ini telah melaksanakan tiga penyasaran subsidi melibatkan tarif elektrik, pengapungan ayam dan terbaharu diesel yang dijangka memberikan penjimatan kira-kira RM10 bilion.


"Langkah ini yang ketiga terbesar ... pertama, tarif elektrik itu kurang kontroversi kerana kita selamatkan 85 peratus rakyat, ia terkena hanya kepada golongan tertinggi 15 peratus ke atas dan warga asing yang kita dapat jimatkan RM4.5 bilion satu tahun.


"… kita selamatkan RM1.2 bilion (pengapungan harga ayam) maknanya politik stabil dan ketegasan tekad politik itu penting, sebab itu selalu saya kaitkan dengan tata kelola, hentikan rasuah kerana ini membantu kita (dan negara)," katanya.

0 comments

Komentarze


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page