Kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) semalam, kononnya gabungan pemerintah bertekad akan melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik hanyalah bersifat kosmetik.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Selangor, Adzman Kamaruddin, bagaimana penjernihan demokrasi akan dilakukan sekiranya prinsip asas demokrasi itu sendiri dicabuli melalui pengkhianatan politik dan penggantungan sidang Parlimen.
"Ada baiknya beliau cermin diri sendiri sebelum mengulas mengenai demokrasi. Pencemaran dan pengotoran di 'muara' demokrasi sejak 23 Februari 2020 tidak akan menghasilkan kejernihan di 'kuala' jika masih mengekalkan pelaku yang sama.
"Umum mengetahui demokrasi ditegakkan di Malaysia melalui pilihan raya, rakyat memilih pemimpin berdasarkan idealisme koalisi parti yang diwakili dan Pakatan Harapan adalah pilihan rakyat pada PRU-14.
"Namun akibat dari kerakusan mereka yang mencabuli prinsip demokrasi, PN yang majoritinya didukung kelompok yang kalah pilihan raya kini memegang tampuk kekuasaan negara.
"Tidak cukup dengan itu, hak Ahli Parlimen untuk mengangkat suara rakyat turut dinafikan apabila Parlimen masih dihalang bersidang dengan alasan pandemik Covid-19 walaupun semua Ahli Parlimen telah mengambil 2 dos vaksin," katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan pemerintah tetap meneruskan penggantungan Parlimen itu, kata Adzman, merupakan satu pengkhianatan demokrasi yang tidak boleh dijernihkan selalui usaha-usaha di sektor lain.
"Bagi saya keputusan pemerintah menghalang Parlimen bersidang tanpa sebarang alasan yang kukuh ini memberikan dampak buruk kepada imej negara di mata dunia apabila prinsip demokrasi secara terang-terangan dicabuli.
"Seiring dengan kenyataan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mengulangi gesaan agar Parlimen dibuka secepat mungkin selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu," katanya lagi.
Semalam, Ketua Penerangan Pemuda PN, Hilman Idham berkata, PN komited untuk melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik selepas berlakunya pelbagai ketegangan dan perebutan kuasa dalam kalangan elit.
Opmerkingen