Penjenayah dibela: Apakah kita mengajar generasi muda khianati nilai Islam?


Kesetiaan politik tidak seharusnya mengatasi prinsip kebenaran dan keadilan, khususnya apabila membabitkan pemimpin yang telah disabitkan kesalahan, kata mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar.
Beliau berkata, mempertahankan individu yang telah disabitkan kesalahan sehingga diagungkan sebagai simbol perjuangan politik boleh memberikan gambaran buruk kepada generasi muda mengenai nilai amanah, integriti dan keadilan yang dituntut Islam.
Mengulas kes bekas Perdana Menteri, Najib Razak beliau berkata perkara itu sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda.
"Kita tidak menafikan jasa seseorang pemimpin. Kita juga tidak menafikan hak seseorang mendapatkan pembelaan undang-undang, pengampunan dan layanan yang adil.
"Tetapi jangan sampai jasa dijadikan alasan untuk menutup kesalahan. Jangan sampai kesetiaan politik mengatasi prinsip kebenaran dan keadilan," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurut Fakhrulrazi, Islam amat menitikberatkan keadilan dan amanah, termasuk kewajipan menegakkan kebenaran tanpa dipengaruhi hubungan kekeluargaan, persahabatan, kedudukan atau kesetiaan politik.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa', ayat 135 yang memerintahkan orang beriman supaya menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat.
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.”
Katanya, prinsip sama turut ditegaskan dalam Surah al-Maidah, ayat lapan yang melarang kebencian terhadap sesuatu kaum menjadi alasan untuk berlaku tidak adil.
"Maknanya, Islam tidak membenarkan kita bersikap pilih kasih. Keadilan mesti ditegakkan kepada semua, sama ada kawan atau lawan, pemimpin atau rakyat biasa," katanya.
Beliau turut menegaskan rasuah dan pengambilan harta secara batil merupakan perbuatan yang dilarang keras dalam Islam, dengan merujuk Surah al-Baqarah, ayat 188 serta hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran terhadap pemberi dan penerima rasuah.
Menyokong kebatilan
Fakhrulrazi turut mengingatkan mengenai hadis riwayat Sahih al-Bukhari yang mengajar umat Islam membantu saudara mereka sama ada ketika dizalimi atau melakukan kezaliman.
Menurutnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa membantu individu yang melakukan kezaliman adalah dengan menghalangnya daripada terus melakukan perbuatan tersebut.
"Membantu seseorang bukan bermaksud mempertahankan segala perbuatannya. Kadangkala bantuan yang paling benar ialah menegur, menghalang dan mengajarnya bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pendirian kepimpinan Umno dalam mendidik generasi muda, sama ada mahu membentuk mereka supaya menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa atau mempertahankan kesalahan pemimpin atas nama kesetiaan kepada parti.
Beliau berkata, budaya mempertahankan pemimpin tanpa mengambil kira kesalahan yang dilakukan boleh melahirkan falsafah politik berbahaya, iaitu rakyat biasa perlu bertanggungjawab atas kesalahan tetapi pemimpin pula mesti dipertahankan kerana kedudukan dan pengaruh mereka.
"Ini bukan pendidikan politik yang sihat. Ini bukan budaya kepimpinan yang patut diwariskan. Dan ia bukan nilai keadilan yang diajar oleh Islam," katanya.
Fakhrulrazi berkata, jika Umno benar-benar mahu melahirkan generasi pemimpin Melayu Islam yang berakhlak, berintegriti dan beramanah, perjuangan menentang rasuah perlu mengatasi kepentingan mempertahankan mana-mana individu.
Beliau turut mengingatkan supaya Islam tidak hanya dijadikan slogan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, sebaliknya prinsip agama itu perlu diterjemahkan melalui tindakan, termasuk apabila kesalahan membabitkan pemimpin sendiri.
"Kita tidak mahu generasi muda mewarisi budaya mengagungkan individu sehingga sanggup menggadaikan prinsip. Kita mahu generasi yang berani berkata benar walaupun terhadap pemimpin sendiri.
"Jangan wariskan budaya taksub kepada pemimpin. Wariskan keberanian mempertahankan kebenaran," katanya.
Beliau menegaskan kemuliaan seseorang bukan diukur berdasarkan jumlah pengikut yang mempertahankannya, sebaliknya melalui ketakwaan, amanah dan keadilan yang ditegakkan.




Comments