Penjawat awam Selangor turut terima kenaikan gaji - MB
- Suara Keadilan

- May 3, 2024
- 1 min read

Penjawat awam di Selangor akan turut menikmati kenaikan gaji bermula Disember ini selaras dengan keputusan di peringkat Persekutuan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelarasan gaji melebihi 13 peratus sebagaimana diumumkan Perdana Menteri itu akan diberikan diberikan kepada 21,736 kakitangan awam di negeri ini sebaik pekeliling mengenainya diterima daripada Kerajaan Pusat.
"Saya akan selaras balik kenaikan gaji penjawat awam negeri setelah pekeliling (kerajaan Persekutuan) dikeluarkan. Pentadbiran ini akan mengambil langkah yang perlu selaras dengan tatacara kewangan sedia ada.
"Perincian berhubung pelarasan kenaikan gaji penjawat awam negeri dijangka dilaksanakan pada Belanjawan Negeri 2025. Ia akan bermula pada kadar minimum iaitu lebih 13 peratus seperti yang Perdana Menteri umumkan," katanya pada sidang media di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata kenaikan gaji di peringkat negeri Selangor harus menjadi dorongan kepada seluruh penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti kerja.
"Ia selaras dengan harapan rakyat yang tinggi bahawa sistem perkhidmatan kerajaan perlu sentiasa ditingkatkan," katanya.
Amirudin berkata, pengumuman kenaikan gaji sektor awam wajar disambut oleh sektor swasta agar tangga gaji dan pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat.
"Ia untuk menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan paling tinggi di rantau ini sekali gus mengatasi cabaran kos sara hidup yang meningkat terutamanya di negara-negara maju," katanya.
Terdahulu, Negeri Sembilan antara negeri yang mengumumkan pelasaran kenaikan gaji kakitangan awamnya sebagaimana diputuskan di peringkat pusat.
Perdana Menteri pada 1 Mei mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Butiran terperinci mengenai pelaksanaan kenaikan gaji itu bakal dibentang dalam Belanjawan 2025 di Parlimen pada Oktober ini.




Comments