top of page

Penjaja Wangsa Maju akan menikmati kemudahan lebih baik, selesa

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 18, 2023
2 min read


Pusat penjaja Wangsa Maju yang baharu dan sedang dalam pembinaan akan memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung.


Hal itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan yang ditemui Suara Keadilan dalam majlis perasmian "Festival Aktif Cena Sihat (FACES) yang menggabungkan tiga program utama, iaitu “Young Warrior 2023”, “Be Fit” dan juga “Ceria ke Sekolah’, semalam.


Menurut Zahir, Parlimen Wangsa maju mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di Malaysia, iaitu 13,475 orang sekilometer persegi.


Oleh itu, katanya, beberapa pusat penjaja besar diperlukan bagi menampung keperluan penduduk.


"Ahli Parlimen sebelum saya telah berusaha untuk menyusun kembali penjaja di Wangsa Maju. Telah dipindah penjaja ke kawasan sementara dan kita menunggu siapnya bazaria yang tetap yang sedang dalam pembinaan.

"Sungguh pun ada kelewatan, kita berharap bangunan itu dapat disiapkan sesegera yang mungkin. Lebih kurang 500 penjaja akan dapat pindah ke bangunan kekal.


"Penjaja ini dari UpTown Danau Kota yang dahulu. Penjaja selain itu kita nak cuba susun agar tidak mengganggu lalu lintas," katanya.


Bagaimanapun, menurut beliau cabaran yang dihadapi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah memastikan parkir mencukupi dan kawasan penjaja tidak menggganggu penduduk sekitar yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.


"Pada masa yang sama kita sedang kenal pasti kawasan untuk buat satu lagi pusat penjaja yang lebih sempurna kerana di Wangsa Maju memang bilangan penjaja tumbuh begitu banyak, dan kita masih mengenalpasti kawasan yang boleh kita buat pusat penjaja.


"Namun kita tidak boleh buat di kawasan ceruk, kawasan mesti ramai orang tetapi tidak boleh mengganggu penduduk di kawasan tertentu.


"Kita mahu pertimbangan sewajarnya untuk tidak merumitkan penduduk," katanya.


Zahir memberi sumbangan kepada wakil PIGB sekolah

Berkenaan Festival Aktif Cena Sihat (FACES) pula, Zahir berazam untuk menganjurkannya setiap tahun bagi penduduk Wangsa Maju.


"Ini program julung kali kita dakan, 3 dalam satu. Pertama menggalakkan warga Wangsa Maju menjaga kesihatan. Kita adakan program percuma menilai kandungan gula, jenis darah dan sebagainya.


"Kita menggalakkan warga kota meneruskan gaya hidup sihat dengan pemeriksaan berkala.


"Program kedua kita sebut Young Warrior ala American Ninja, lari berhalangan. Kita telah menjemput pelbagai sekolah menengah di Wangsa Maju, dua sekolah untuk menghantar pasukan. Kita dapat 12 pasukan dan kita sediakan satu piala pusingan.


"Ketiga ceria sekolah, kita sampaikan sumbangan melalui PIBG. Di Wangsa Maju kita ada 21 sekolah, sekolah menengah dan rendah telah hadir hari ini. Kita (agihan peruntukan) telah menyumbang RM10,000 setakat ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page