Pengurusan Menara KL: Kementerian teliti pengambilalihan pegangan saham
- Suara Keadilan
- Dec 27, 2022
- 1 min read

Isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) melalui pegangan saham penuh daripada pihak Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) kepada syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. sedang diteliti oleh Kementerian Komuniaksi dan Digital (KKD).
Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil berkata isu tersebut yang dibangkitkan di media sosial juga dalam kalangan pengamal media rasmi dipandang serius oleh beliau.
"Saya telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada 14 Disember 2022.
"Saya juga akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada pihak Telekom Malaysia (TM) pada 3 Januari 2023.
"Saya difahamkan konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember 2022 oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd," kata Fahmi dalam kenyataan petang ini.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, isu berkenaan sedang dipantau secara rapi oleh pihak kementerian dan beliau terbuka kepada sebarang penyiasatan daripada mana mana agensi berhubung perkara tersebut.
"KKD memantau rapat isu ini dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu tersebut," katanya.
KKD sebelum ini dihujani pelbagai pertanyaan sejak terbongkarnya isu konsesi dan hak mengurus ke atas Menara KL
Apatah lagi pada tahun 2019, keuntungan bersih yang dicatat oleh Menara KL Sdn Bhd melalui konsesi dan hak mengurus itu sebanyak RM20 juta. Pada tahun 2018, Menara KL mencatat keuntungan bersih sebanyak RM25 juta.
Rakyat tertanya tanya mengapakah perniagaan yang menguntungkan tersebut diserahkan kepada sebuah syarikat yang didakwa tiada kena mengena dengan perniagaan hartanah.
Comments