'Pengurangan defisit baik, namun utamakan kesejahteraan rakyat'
- Suara Keadilan
- May 27
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, Kerajaan Madani telah menunjukkan komitmen jelas dalam usaha untuk mengurangkan defisit fiskal negara secara berperingkat kepada tiga peratus menjelang 2028.
Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, langkah berkenaan disifatkan sebagai satu usaha untuk menggambarkan pengurusan fiskal yang berhemat (fiscal prudence) di bawah Kerajaan Madani biarpun katanya, masih banyak yang perlu dilakukan.
"Cuma mengurangkan belanjawan untuk mendapatkan belanjawan yang berlebihan (surplus) adalah satu tekad yang baik. Namun ianya perlu diseimbangkan dengan matlamat Kerajaan yang lebih besar iaitu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Kesejahteraan rakyat perlu menekankan aspek daripada segi peningkatan pendapatan dan pengawalan kos sara hidup dan dua perkara itu perlu ditangani.
"Di Malaysia ini kita menghadapi satu situasi di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, misalnya di suku tahun pertama 2025, KDNK meningkat kepada 4.4 peratus.
"Tapi seolah-olah rakyat tak mahu percaya (peningkatan itu) kerana di peringkat isi rumah, mereka sendiri tidak merasakan nikmat peningkatan dalam KDNK," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah belanjawan untuk beberapa tahun akan datang berpotensi mengalami surplus susulan kejayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskal sekali gus meningkatkan pendapatan pada suku pertama 2025.
Mengulas lanjut, Dr Barjoyai berpendapat tidak begitu bermasalah sekiranya negara menghadapi sedikit defisit, asalkan ia membawa kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
Ujar beliau lagi, defisit berupaya dikurangkan dengan cepat sekiranya institusi wakaf diwujudkan untuk mengasingkan semua perbelanjaan demi kesejahteraan rakyat supaya ia tidak termasuk dalam belanja kerajaan.
Terdahulu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berjaya mengurangkan defisit fiskal pada akhir Mac 2025 yang menyaksikan pengurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024.
Ia didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion.
Kata MOF, peningkatan itu didorong kutipan cukai lebih tinggi terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.
コメント