top of page

Pengumuman Dr Fuziah redakan saingan bentuk kerajaan pada malam keputusan PRN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pengumuman Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperoleh sokongan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 lalu, disifatkan sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan semula keyakinan terhadap pentadbiran negeri.


Tidak sebagaimana kritikan sesetengah pimpinan parti komponen, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan (gambar) berpendapat, langkah Dr Fuziah itu yang terbaik pada malam keputusan memandangkan pemimpin parti utama Sabah memerlukan sokongan kukuh bagi membentuk Kerajaan Negeri yang stabil.


"Hakikatnya kalau kita lihat ke belakang, pengumuman Dr Fuziah itu walaupun dikatakan pramatang, ianya memberikan keyakinan kepada Kerajaan Negeri (baharu) Sabah pimpinan Datuk Seri Dr Hajiji Noor.


"KDMM, STAR, UPKO memberikan sokongan (terhadap) Kerajaan Negeri Sabah kerana memerlukan kestabilan ketika ini.


"Perbezaan antara GRS dengan Warisan juga tidak banyak dari segi jumlah kerusi. Warisan (berada di) hadapan dari segi ‘popular vote’ dan selepas itu BN pula mengumumkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Hajiji," katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook.


Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, sokongan yang kuat merupakan sesuatu yang diperlukan oleh pemimpin GRS untuk membentuk Kerajaan Negeri.


"Jadi ini yang diperlukan oleh Sabah (iaitu) satu Kerajaan Negeri yang kuat, yang tidak dikatakan tertekan kalau satu atau dua ADUN berpaling tadah, tidak akan meruntuhkan Kerajaan Negeri.


"Jadi saya lihat apa yang diumumkan oleh Dr Fuziah itu adalah sebagai langkah strategik untuk mengembalikan keyakinan kepada Kerajaan Negeri Sabah," ujarnya lagi.


Sebelum ini Setiausaha Agung DAP dalam temubual dengan sebuah portal berita mengkritik tindakan Dr Fuziah pada malam keputusan itu kerana DAP tidak dimaklumkan dan tindakan itu pula tidak mempunyai alasan kukuh kerana PH pada waktu itu hanya menang dua kerusi sebelum turun menjadi satu, sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page