top of page

Pengkhianatan ibarat daun rosak, gugur, tidak menggugat KEADILAN - Manivanan Gowin



KEADILAN tidak akan tergugat dengan siri pengkhianatan dan sabotaj dalaman kerana parti tersebut telah tumbuh menjadi sebatang pohon yang subur dan kuat akar umbinya.


Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Manivanan Gowin, ibarat sebatang pohon, pengkhianatan disifatkan seumpama daun yang rosak dan gugur. Namun batang, dahan serta ranting pohon itu akan kembali normal selepas hilangnya daun berkenaan.


"Dalam perjalanan menegakkan keadilan dan pembaharuan, ada yang sengaja dan tidak sengaja mengalah kepada racun paling berbahaya dalam perjalanan politik seseorang iaitu ketamakan dan kuasa.


"Pemimpin sebegini bertukar menjadi pengkhianat. Orang baru muncul sebagai pengkhianat tetapi luka tetap sama. Walau bagaimanapun, dalam semua kes, kepimpinan KEADILAN biasanya kembali merapatkan saf dan membentuk semula batalion yang kuat.


"Pada penghujung hari, kita sedar, ia (pengkhianatan) adalah sebahagian daripada proses pembersihan. Biarkan semua daun yang dijangkiti jatuh sendiri.


"Yakinlah, pokok akan selamat. Pokok akan terus menyuburkan dan melengkapi kepimpinan yang luar biasa. Ingat, KEADILAN bukan daun, ia adalah pokok," kata beliau dalam satu kenyataan.


Menurut mantan Ahli Parlimen Kapar itu, sejarah sepanjang dua dekad telah membuktikan parti yang dianggap hanya bertahan 'setahun jagung' pada hujung 1990an lalu terbukti telah menjadi blok terbesar di Parlimen dan tumbuh sebagai parti pelbagai kaum yang paling berjaya dalam sejarah Malaysia.


"KEADILAN pernah dirujuk sebagai 'parti nyamuk'. Kita bina segalanya, sedikit demi sedikit, inci demi inci, dengan setiap usaha dan pengorbanan ahli untuk menjadi parti masa depan semua generasi. Diterima sebagai parti berbilang kaum, berani dan kuat kita maju ke hadapan apabila orang lain dihimpit dalam sempadan kaum.


"Sekali lagi, kita mengingatkan lawan; bahawa kami akan bangkit semula, menentang semua muslihat dan ancaman. KEADILAN adalah keluarga besar dan kami akan melonjak lebih kuat daripada sebelum ini," katanya.


Menurut Manivanan lagi, parti yang dibina untuk berjuang menentang ketidakadilan sosial itu tidak akan runtuh, malah akan terus berkembang selagi mana matlamat perjuangannya belum tercapai.


"Dalam banyak-banyak parti politik di Malaysia, KEADILAN adalah satu-satunya parti yang dibentuk akibat pergelutan dan ketidakadilan, dan kesedihan ini mendesak kita untuk memperjuangkan keadilan dan membawa agenda reformasi.


"Penyokong sebenar KEADILAN, pastinya akan berjumpa dengan kata-kata seperti perjuangan, ketidakadilan dan pembaharuan. Jika seorang pemimpin tidak mengucapkan kata-kata ini semasa kempen politik, mereka tidak layak sebagai pemimpin KEADILAN sejati. Begitulah sinonimnya kata-kata ini kepada kepimpinan kita.


"Seseorang akan faham ia bukanlah kata-kata manis di bibir semata-mata. Kata-kata ini ialah tiang seri kewujudan kita dan telah menjadi darah daging pengembaraan politik KEADILAN," katanya lagi.


Sehubungan itu, Mannivanan mengingatkan ahli-ahli agar terus taat kepada kepimpinan parti dan meneruskan perjuangan, walau menghadapi apa juga pancaroba untuk menuju kemenangan multak dalam pilihan raya akan datang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page